Hazman kecewa 20 minit terakhir musnahkan peluang Terengganu ke separuh akhir

Hazman kecewa 20 minit terakhir musnahkan peluang Terengganu ke separuh akhir

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila peluang pasukannya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia lebur dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Kekalahan 1-2 itu menyaksikan Terengganu tersingkir dengan agregat 2-3 walaupun pada satu ketika mereka dilihat hampir menggenggam slot ke kelompok empat terbaik.

Hazman berkata, tempoh antara minit ke-70 hingga ke-90 seolah-olah menghancurkan segala usaha pasukannya.

Gol tuan rumah disumbangkan ayam tambatan mereka Paulo Josue dan Victor Ruiz manakala jaringan pasukan pelawat pula disempurnakan Akhyar Rashid.

“Pada minit-minit terakhir itu, saya nampak peluang kami seperti hilang sekelip mata.

“Itu 20 minit terakhir yang sangat penting, dan ia memusnahkan peluang kita untuk mara,” kata Tengku Hazman.

Menurutnya, situasi itu berlaku ketika beliau melakukan pertukaran taktikal, tetapi pemain yang baru masuk belum menyesuaikan diri sepenuhnya, sekali gus membuka ruang untuk KL City memanfaatkan kelemahan.

“Pada mulanya saya tengok situasi itu berlaku masa kita buat pertukaran. Maknanya kita tukar, pertukaran itu terus benda itu berlaku. Pemain baru belum settle down lagi dan kita buat kesilapan daripada situ,” katanya.

Beliau menegaskan barisan pertahanan yang sedikit kelam kabut ketika itu menjadi faktor utama kejatuhan momentum pasukan.

“Bila benda itu berlaku dan kita nampak barisan belakang agak kelam kabut. Saya nampak lebih kepada faktor pengalaman. Kalau dibandingkan dengan pemain KL City, kita nampak kita tak dapat mengendalikan beberapa situasi penting,” katanya.

Hazman turut menjelaskan bahawa pendekatan pasukannya bukan sekadar bertahan untuk mempertahankan kelebihan tipis, tetapi mengambil kira kekangan pemain yang ada.

“Sebenarnya kita bukan nak mempertahankan satu gol itu. Kita dah tahu kita ada pemain yang agak terhad, Careca tak dapat diturunkan. Jadi kita hanya ada pemain tempatan untuk menggantikan di bahagian depan dan saya cuba untuk menyerap tekanan seberapa lama mungkin pada separuh masa pertama,” katanya.

Pada masa sama, Hazman mengakui beberapa pemain muda Terengganu masih kekurangan pengalaman dalam mengendalikan tekanan di pentas besar, namun beliau tetap menekankan pembelajaran daripada kekalahan ini.

“Kita kena terus melangkah. Saya sudah beritahu Piala Malaysia sudah habis dan sekarang kita fokus kepada Piala Liga. Kita belajar daripada perlawanan ini kerana beberapa pemain muda masih kurang pengalaman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top