'Healing' satu hari dalam satu tempat

'Healing' satu hari dalam satu tempat

am@hmetro.com.my

Infinity Love Creative Ventures bakal menganjurkan edisi sulung ‘Infinity Vibes Fest 2025’, sebuah festival gaya hidup yang menghimpunkan larian santai, kulinari, muzik dan aktiviti komuniti di Dataran Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 13 Disember ini.

Mengangkat konsep gaya hidup sihat dan suasana mesra keluarga, festival ini dijangka menjadi tumpuan pengunjung yang mahukan aktiviti hujung minggu yang santai dan menyeronokkan.

Pengarah ILCV Events, Shasha Samsudin berkata, festival itu menjadi platform komuniti moden yang menggabungkan pelbagai hobi dalam satu hari.

“Matlamat kami memperkenalkan festival sehari yang menyatukan larian santai, kopi, pencuci mulut, kulinari gaya hidup dan muzik dalam satu pengalaman yang menyeluruh,” katanya.

Shasha berkata, penganjuran itu turut membuka peluang besar kepada bakat-bakat DJ tempatan.

“Kami mahu DJ tempatan merasai pentas yang lebih besar sambil mengetengahkan bakat baharu negara,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kreatif ILCV Events, Fidote pula memaklumkan konsep ‘One-Day Lifestyle Experience’ dipilih bagi memastikan pengunjung dapat menikmati semua segmen tanpa gangguan, selain memudahkan pengurusan logistik serta kos penganjuran.

Festival itu juga tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan ‘R&B’ & ‘Hip-Hop Picnic’, yang pertama diperkenalkan di Malaysia, membolehkan pengunjung berkelah sambil menikmati alunan muzik urban daripada DJ tempatan.

Selain muzik, tumpuan turut diberikan kepada kulinari moden.

“Segmen Coffee, Dessert & Kulinari Lifestyle menghimpunkan pengusaha kecil, artisan kopi, bakeri dan pencuci mulut tempatan sebagai antara tarikan utama,” kata Fidote.

Infinity Vibes Fest 2025 menyasarkan kehadiran antara 3,000 hingga 10,000 pengunjung terdiri daripada keluarga, ‘fun runners’, peminat kopi dan pencuci mulut, pelajar serta golongan muda.

Tambah Shasha pula, pihaknya berharap festival itu mampu berkembang menjadi acara tahunan terbesar dalam kategori kopi, pencuci mulut, muzik urban dan ‘fun run’.

Acara sehari itu menawarkan empat pengalaman utama iaitu ‘Coffee & Dessert Run’ yang berlangsung pada jam 7 sehingga 11 pagi.

‘Coffee & Dessert Run’ merupakan larian santai 5 kilometer yang masih dibuka penyertaannya dan turut menampilkan pempengaruh, Leha Ohsem.

Selain itu, ada ‘Food Fest: Coffee & Dessert’ menampilkan usahawan kopi, bakeri, pencuci mulut dan kudapan tempatan sebagai platform sokongan kepada pengusaha kecil.

Aktiviti ‘R&B’ & ‘Hip-Hop Picnic’ membolehkan pengunjung boleh berkelah sambil menikmati muzik R&B, hip-hop dan ‘chill grooves’. Tiket dijual pada harga RM49.

Local DJ Night adalah acara kemuncak menampilkan barisan DJ tempatan seperti DJ Mia, DJ Devo Wayne, DJ Aliph, DJ Asap, DJ Alipp, DJ Fazz, DJ Syaza serta DJ Lollipop yang memegang rekod ‘Malaysia’s Youngest DJ’.

Penganjuran festival turut menerima sokongan beberapa jenama termasuk Kopi Dua Darjat, F&N (100PLUS), Park Inn Hotel by Radisson dan MAEPS Serdang.

Pelbagai hadiah menarik seperti jam tangan Roerdum, baucar bilik Park Inn, Smart TV dan hamper juga ditawarkan melalui cabutan bertuah.

Tiket kombo bagi ‘R&B’ & ‘Hip-Hop Picnic’ dan ‘Local DJ Night’ turut dijual pada RM120.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top