am@hmetro.com.my
Kuching: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) melakukan pendaratan di Bintulu hari ini selepas mengalami masalah teknikal kecil ketika dalam penerbangan dari Sibu ke Miri.
Memetik laporan The Borneo Post malam ini, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali mengesahkan helikopter itu sedang menuju ke Miri untuk mengambil bahagian dalam program pameran apabila kejadian itu berlaku sekitar jam 3.20 petang.
Tiada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia berada dalam helikopter itu kecuali juruterbang dan dua anak kapal.
Menurut Nixon, syarikat pengendali helikopter itu akan menghantar kakitangan dari Miri untuk memeriksa keadaan pesawat dan menentukan punca masalah teknikal itu.
Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas video yang menunjukkan sebuah helikopter FDS berwarna kuning mendarat di kawasan lapang berdekatan perumahan Sri Pertiwi, Kidurong.
Rakaman berdurasi 51 saat yang tular di media sosial menarik perhatian orang ramai berikutan tragedi helikopter FDS yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Ulu Baram, berlaku lebih sebulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




