mdroji@bh.com.my
Kuching: Sebuah helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) didakwa melakukan pendaratan di kawasan lapang berdekatan kawasan Perumahan Sri Pertiwi, di Kidurong, Bintulu, hari ini.
Kejadian itu tular selepas video berdurasi 51 saat memaparkan helikopter berkenaan mendarat di kawasan lapang berhampiran perumahan terbabit tular di media sosial.
Video yang dimuat naik menerusi laman Facebook Bintulu News Page 2 itu menunjukkan helikopter berkenaan berada di kawasan lapang di sebelah perumahan berkenaan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak, ketika dihubungi berkata, pihak polis setakat ini belum menerima sebarang maklumat berhubung kejadian berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Kejadian itu kembali menarik perhatian orang ramai terhadap operasi FDS di Sarawak, terutama selepas tragedi nahas helikopter perkhidmatan berkenaan yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF yang membawa seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhempas berhampiran landasan Long Lellang STOLport.
Lima mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Susulan tragedi itu, KKM mengumumkan penggantungan sementara semua operasi FDS di Sarawak bagi membolehkan siasatan serta penilaian semula aspek keselamatan dan mekanisme operasi perkhidmatan berkenaan.
Pada 16 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, dilaporkan berkata keputusan untuk mengaktifkan semula sepenuhnya perkhidmatan FDS di Sarawak masih menunggu pertimbangan Kabinet selepas laporan awal dan penilaian berkaitan dikemukakan kepada kementerian.
Sehubungan itu, kejadian pendaratan helikopter di Kidurong hari ini menimbulkan persoalan mengenai tujuan penerbangan serta status operasi helikopter berkenaan, yang masih menunggu penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




