Helikopter NASA terbang lebih jauh, pantas di Marikh

Helikopter NASA terbang lebih jauh, pantas di Marikh

NEW YORK: Helikopter mini Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Ingenuity semalam berjaya menyelesaikan penerbangan ketiganya di Marikh, bergerak lebih jauh dan pantas berbanding sebelumnya, dengan kelajuan puncak dua meter persaat.

Selepas dua penerbangan awal di mana ia terbang di atas permukaan Planet Merah itu, helikopter berkenaan pada penerbangan ketiganya meliputi jarak 50 meter, mencapai kelajuan dua meter sesaat atau empat batu sejam.

“Penerbangan hari ini adalah apa yang kami rancangkan, ia tidak kurang hebatnya,” kata eksekutif program Ingenuity, Dave Lavery.

Kenderaan robotik peninjau Perseverance yang membawa helikopter seberat 1.8 kilogram berkenaan ke Marikh, merakamkan penerbangan ketiga selama 80 saat itu.

NASA semalam berkata klip video berkenaan akan dihantar ke bumi dalam masa beberapa hari lagi.

Penerbangan lateral itu adalah ujian bagi sistem navigasi autonomi helikopter, yang melengkapkan laluan berdasarkan maklumat yang diterima sebelum itu.

“Jika Ingenuity terbang terlalu pantas, algoritma penerbangan tidak dapat mengesan ciri permukaan,” jelas NASA dalam satu kenyataan mengenai penerbangan itu.

Penerbangan Ingenuity mencabar kerana keadaannya amat berbeza berbanding bumi, terutama suasana yang jarang ditemui, yang mana mempunyai kepadatan kurang satu peratus daripada bumi.

Ia bermakna rotor Ingenuity yang berukuran 1.2 meter harus berputar 2,400 putaran per minit bagi mencapai daya angkat, iaitu kira-kira lima kali ganda lebih daripada helikopter di bumi.

NASA mengumumkan, ia kini sedang bersedia untuk penerbangan keempat.

Setiap penerbangan dirancang dengan meningkatkan kesukaran bagi mendorong Ingenuity mencapai hadnya.

Eksperimen Ingenuity akan berakhir dalam masa sebulan bagi membolehkan Perseverance kembali kepada tugas utamanya iaitu mencari petanda kehidupan mikrob lampau di Marikh. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top