Kuala Lumpur: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak petang tadi, dilaporkan singgah di Long Siut untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi berkenaan.
The Borneo Post melaporkan pemilik kedai runcit, Bungan Tegong, 61, berkata kru helikopter itu mendarat di Long Siut pada tengah hari tadi sebelum singgah di kedainya untuk berehat, minum dan membeli beberapa barangan.
Menurutnya, kru terbabit menghabiskan kira-kira sejam di kedainya dan dia sempat berbual dengan salah seorang wanita yang memakai tudung.
“Dia beritahu saya mereka hendak ke Long Lellang. Dia bertanya sama ada saya pernah ke sana.
“Saya beritahu dia saya tidak pernah ke sana. Kemudian saya bertanya berapa lama masa diperlukan untuk terbang dari Long Siut ke Long Lellang dan dia kata kira-kira 10 minit,” katanya.
Bungan berkata, dia juga mengenali juruterbang terbabit yang kerap mengendalikan penerbangan FDS dan sering singgah di Long Siut untuk mengisi minyak.
“Juruterbang itu selalu menerbangkan helikopter dan kerap mengisi minyak di sini. Sebab itu saya mengenalinya,” katanya.
Menurutnya, kru berkenaan turut memaklumkan keadaan cuaca tidak begitu baik akibat jerebu sebelum mereka berlepas.
“Saya bertanya kepada mereka mengapa masih meneruskan perjalanan jika mereka tahu keadaan cuaca terjejas akibat jerebu.
“Salah seorang daripada mereka menjawab ‘tak boleh mak cik sebab kami sudah ada janji dengan pesakit’,” katanya.
Long Siut ialah sebuah penempatan masyarakat Kenyah di kawasan pedalaman Baram, Sarawak iaitu kira-kira sehari perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Long Lellang.
Terdahulu, sebuah helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan petang tadi, mengesahkan insiden berkenaan.
CAAM dilaporkan berkata, pihaknya menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Selain Dr Ainul Baraah Kamaruddin, empat individu lain berada dalam helikopter itu ketika kejadian ialah juruterbang dan tiga lagi kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk dua jururawat.
Berita berkaitan:
Juruterbang, empat penumpang helikopter terhempas disahkan maut
‘Arwah rancang sambung belajar kerana mahu jadi doktor pakar’ – Bapa Dr Ainul
Helikopter FDS terhempas bawa empat petugas KKM – Dzulkefly
Helikopter terhempas: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia
Helikopter terhempas: PDRM gerak operasi SAR, 10 jam melalui darat
Helikopter ‘flying doctor’ terhempas di Sarawak, status 5 dalam pesawat belum diketahui
© New Straits Times Press (M) Bhd
