Helikopter terhempas: Konstabel RG Devendran masih ditidurkan tetapi stabil

Helikopter terhempas: Konstabel RG Devendran masih ditidurkan tetapi stabil

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kru helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, Khamis lalu, Konstabel RG Devendran masih ditidurkan namun dalam keadaan stabil.

Timbalan Pengarah Hospital II Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr C Mitesh berkata, kru berusia 30 tahun itu juga masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Manakala Koperal Adeline Liu Yan Siu yang tidak memerlukan bantuan pernafasan masih ditempatkan di ICU untuk pemantauan.

“Tiga mangsa yang stabil dalam wad biasa juga masih dalam pemerhatian termasuk doktor pakar ortopedik kerana kecederaan lain yang perlukan rawatan. Jadi, kalau dilihatkan, kelima-lima (mangsa) stabil,” katanya ketika ditemui selepas lawatan bersama dengan Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani di pekarangan lobi HSA di sini, hari ini.

Pada Khamis, helikopter AS355N milik PDRM dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Maritim Malaysia di Gelang Patah, ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena latihan Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top