Helikopter terhempas: 'Perginya ketika berkhidmat membawa rawatan, harapan kepada mereka yang memerlukan'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamaruddin dan mangsa lain yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Sarawak, petang tadi.

“Allahyarham Dr Ainul adalah anak kelahiran Kota Bharu meninggal dunia ketika menjalankan amanah Doctor Service (FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.

“Perginya ketika sedang berkhidmat, membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.

“Kelantan kehilangan seorang anak yang mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan.

“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa yang terbabit. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarhamah, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin,” katanya.

Terdahulu, sebuah helikopter BO-105 membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport) di Sarawak, petang tadi.

Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.

CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top