Hemat berbelanja tangani risiko 'poket bocor'

Hemat berbelanja tangani risiko 'poket bocor'

Suasana konflik di peringkat global masa kini, khususnya di rantau Timur Tengah telah meninggalkan kesan ke atas kestabilan ekonomi. Tempias kegawatan ekonomi pastinya terkena juga ke atas kita semua di Malaysia ini.

Walaupun, sumber asas ekonomi negara kita dikira cukup kukuh, tetapi langkah dan pendekatan untuk mengelak sebarang kemungkinan buruk ke atas kelangsungan hidup harian perlu diambil cakna.

Perlu kita sedari dan memahami konflik semasa di Timur Tengah, terutama ketegangan Iran-Israel bukan meninggalkan impak negatif dan menyebabkan krisis kemanusiaan yang teruk, kemusnahan infrastruktur dan gangguan rantaian bekalan global. Kesan utama termasuk lonjakan harga minyak, peningkatan kos sara hidup global serta risiko keselamatan yang menjejaskan perjalanan antarabangsa

Jadi kita patut menjadi antara rakyat yang sama-sama meringankan beban negara dalam berdepan situasi semasa yang memerlukan kita semua mengamalkan langkah berjimat-cermat dalam setiap aspek.

Gaya hidup mewah dan amalan perbelanjaan boros bukan pilihan tepat, sebaliknya rasa sensitif terhadap situasi ekonomi semasa hendaknya perlu kita tanam dalam diri. Sikap sedar bahawa ekonomi global dan kedudukan semasa harga petroleum melambung tinggi di pasaran kesan gangguan di laluan perkapalan di Selat Hormuz dan serangan terhadap infrastruktur tenaga menyebabkan harga petroleum dunia melonjak. Ini memberi kesan rantaian kepada peningkatan kos pengangkutan dan harga makanan di seluruh dunia termasuk di negara kita, Malaysia ini.

Dalam menghadapi situasi ekonomi semasa, wajar kita kembali kepada saranan Islam yang menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengamalkan kehidupan bersederhana. Jika kita meneliti ayat-ayat dalam Al-Quran dan pesanan dalam sabda Baginda Rasulullah SAW, maka tentunya kita bertemu saranan untuk menggayakan kehidupan secara bersederhana khususnya dalam perbelanjaan harian.

Kita mungkin beranggapan Malaysia negara pengeluar petroleum namun hakikat perlu kita sedari ialah kita tidak kebal daripada kesan pergolakan global ini kerana negara masih bergantung kepada import bahan api dan tenaga tertentu dari luar negara.

Bagi sesetengah kita mungkin sudah terbiasa dengan gaya hidup mewah yang mungkin disebabkan kedudukan kewangan semasa dalam keadaan kukuh dengan sumber pendapatan yang teguh. Akan tetapi, dalam menangangani sebarang risiko ‘poket yang penuh boleh menjadi bocor’ akibat amalan mewah dan boros berbelanja besar.

Ingatlah banyak ayat al-Quran menyentuh aspek jimat cermat, menekankan kesederhanaan dan melarang pembaziran, terutama dalam Surah Al-Isra’ ayat 26-27. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau membazir (harta) secara melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” Ayat ini jelas melarang perbelanjaan tidak berfaedah atau berlebihan.

Inilah masanya kita amal kehidupan bersederhana dalam berbelanja seperti disarankan kepada kita menerusi maksud dalam Surah Al-Isra’, ayat 29. Dalam ayat itu Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kedekut) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana nanti engkau akan menjadi tercela dan menyesal.” Dengan kata lain, Allah mahukan kita semua menjalani kehidupan di dunia dengan pendekatan wasatiyyah (sederhana) iaitu tidak terlalu kedekut dan tidak terlalu boros.

Jelas menerusi ayat yang terakam dalam al-Quran, Allah mendidik kita supaya menjadikan sikap berjimat-cermat sebagai perisai hidup agar risiko krisis ekonomi mampu dihadapi sebaiknya. Juga, dapat difahami Allah mahukan kita semua mengurus keperluan hidup secara bersederhana dan bukan membiasakan diri dengan amalan belanja yang boros.

Islam tidak menyuruh sesuatu andainya amalan itu tidak memberi kebaikan dan Islam melarang sesuatu perbuatan jika ia tidak mengundang keburukan. Demikianlah dalam hidup bersederhana. Jadi, Islam mengeji perbuatan boros sebaliknya menggalakkan sifat hemah dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan.

Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan: 67) Sehubungan itu, kita perlu ambil perhatian secara mendalam apa yang disarankan Allah kepada kita dalam aspek menjaga kemaslahatan sumber ekonomi agar agenda kehidupan harian dapat kita terus tanpa tertekan dengan bebanan ekonomi.

Islam tidak mahu kita hidup dalam situasi emosi tertekan bersarangkan amukan psikologi berkecamuk akibat ‘poket kering’ yang berpunca daripada sikap boros dan membazir. Oleh itu, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk mengambil sifat pertengahan di antara kedua sifat itu iaitu berlaku hemah dalam mengeluarkan harta atau perbelanjaan dan berhemat iaitu tidak cenderung kepada kekikiran dan tidak pula kepada pemborosan atau pembaziran (bersederhana).

Inilah masanya kita didik diri untuk menghayati secara bersungguh apa yang Allah firmankan dalam al-Quran seperti dalam Surah al-Israk ayat 27. Dalam ayat ini Allah berfirmaan yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang boros ialah orang yang mengeluarkan atau berbelanja hartanya secara berlebih-lebihan di luar keperluan yang sebenar. Golongan ini juga diumpamakan sebagai saudara syaitan.” Oleh itu, sewajarnya kita tidak mengeluarkan hartanya atau berbelanja pada jalan yang tidak bermanfaat, bahkan pada jalan kemaksiatan. Tabiat membazir ini amat dibenci oleh Allah dan sebaliknya amat disukai syaitan, sedangkan syaitan itu menjanjikan kekafiran.

Islam menggalakkan sifat sederhana dalam perbelanjaan dan penggunaan. Bersederhana dalam urusan perbelanjaan bermaksud berbelanja ‘minimum’ setakat yang dapat mengawal atau menahan kehendak nafsu dan tidak memudaratkan atau menghalang kelangsungan hidup. Tidak pula bermaksud menjadikan kehidupan ahli salaf sebagai kayu ukur untuk sifat kesederhanaan. Rasulullah SAW menasihatkan kita agar tidak melampau dalam memperagakan kemewahan.

Kita perlu sedar dan sentiasa bersiap sedia jasmani dan rohani untuk melalui masa gawat dan kesempitan serta sanggup merubah sikap untuk berjimat cermat dan berhemat dalam perbelanjaan setiap masa. Ini bagi membolehkan kita bersedia mengharungi sebarang ujian dalam kehidupan ini dengan penuh keselesaan. Kesederhanaan atau wasatiyyah harus diterapkan dalam setiap urusan hidup termasuk dalam urusan perbelanjaan seharian. Dalam ini ada eloknya kita sama-sama menghayati apa yang Ali Sabit pernah ungkapkan yang katanya: “Penyakit akal itu bangga diri dan emosi dan penyakit harta itu ialah pemborosan.” Ini pesanan ybaik kepada kita semua dalam menghadapi situasi kegawatan ekonomi masa kini.

Situasi semasa juga seharusnya mampu memujuk hati kita agar tidak sewenang-wenangnya berbelanja kerana itu bukan pilihan yang bijak dalam membina benteng daripada asakan krisis ekonomi yang semakin mencengkam.

Marilah kita sama-sama kembali sebagai Muslim yang benar-benar menghayati prinsip asas dalam agama Islam iaitu berjimat-cermat dan berhemah dalam berbelanja.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top