anbia@hmetro.com.my’
Kuala Lumpur: Hempedu beruang atau lebih dikenali sebagai ‘bear bile’ boleh mencecah harga antara AS$1,000 hingga AS$3,000 (RM4,700 hingga RM14,000) di pasaran gelap Asia bergantung kepada saiz, ketulenan dan sumber.
Manakala hempedu ular pula walaupun lebih murah, tetap menjadi buruan dengan harga sekitar RM230 hingga RM1,400 seunit, khususnya bagi spesies tertentu seperti ular tedung dan ular sawa.
Harga ini boleh meningkat berkali ganda apabila dijual dalam bentuk produk siap seperti pil tradisional, serbuk kering atau tonik kesihatan di negara seperti China, Vietnam dan Korea Selatan.
Sumber berkata, kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merampas 420 hempedu beruang dan 602 hempedu ular sawa bernilai lebih RM36 juta di Johor Bahru, Sabtu lalu amat mengejutkan.
Perhilitan turut menemui bahagian harimau serta menahan seorang lelaki warga Vietnam dipercayai ada kaitan sindiket pemerdagangan haiwan antarabangsa.
Menurutnya, rampasan di Johor itu bukan sekadar kes jenayah biasa.
“Ia membuka tirai kepada rangkaian sindiket yang menjadikan organ haiwan sebagai [komoditi eksotik’ bernilai tinggi, setanding emas. Malah dalam sesetengah kes, lebih mahal daripada emas itu sendiri. Permintaan terhadap hempedu haiwan bukan perkara baharu. Ia berakar daripada kepercayaan dalam perubatan tradisional Cina yang diamalkan sejak beribu tahun lalu.
“Dalam kepercayaan itu, hempedu beruang mengandungi bahan aktif dikenali sebagai ursodeoxycholic acid (UDCA) yang dipercayai mampu merawat penyakit hati, mengurangkan demam panas, menyahtoksik badan dan meningkatkan tenaga dalaman,” katanya.
Manakala menurutnya, hempedu ular pula sering dikaitkan dengan kepercayaan mampu meningkatkan stamina lelaki, merawat sakit sendi dan reumatik.
“Namun kebanyakan dakwaan ini tidak disokong sepenuhnya oleh bukti saintifik moden. Malah alternatif sintetik bagi UDCA sudah lama dihasilkan secara sah dalam industri farmaseutikal. Di sebalik permintaan tinggi, perdagangan haram ini sebenarnya dipacu oleh gabungan kepercayaan tradisional, mitos kesihatan dan status sosial. Di sesetengah komuniti, meminum hempedu haiwan liar dianggap sebagai simbol kekuatan dan kejantanan. Ada juga yang percaya ia mampu memanjangkan umur atau menyembuhkan penyakit kronik.
“Lebih membimbangkan, terdapat amalan ekstrem seperti meminum hempedu segar yang dicampur alkohol. Ia satu ritual yang semakin mendapat perhatian pelancong di beberapa negara Asia,” katanya.
Rampasan oleh PERHILITAN di Johor dipercayai berkait dengan jaringan sindiket antarabangsa dan rantaian gelap penyeludupan rentas sempadan yang menjadikan Malaysia sebagai transit perdagangan hidupan liar serta hub pengumpulan sebelum dihantar ke luar negara.
“Organ seperti hempedu haiwan mudah disembunyikan kerana saiznya kecil, tetapi nilainya tinggi. Ini menjadikannya ‘produk ideal’ bagi sindiket.
“Kejayaan operasi di Johor membuktikan komitmen PERHILITAN dalam mengekang jenayah ini. Namun, cabaran sebenar bukan sekadar menangkap penyeludup tetapi memutuskan permintaan.
“Selagi wujud pembeli yang percaya kepada khasiat hempedu ini, selagi itu sindiket akan terus mencari bekalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



