Henderson kembali warnai EPL bersama Brentford

Henderson kembali warnai EPL bersama Brentford
Henderson. - Foto: Agensi

Henderson. – Foto: Agensi

BEKAS kapten Liverpool, Jordan Henderson, bakal menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brentford, selepas dilepaskan kelab Eredivisie Belanda, Ajax Amsterdam awal minggu ini.

Pemain tengah England berusia 35 tahun dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama The Bees.

Henderson yang meninggalkan Ajax setahun lebih awal dari kontrak asalnya dilaporkan mendapat minat daripada beberapa kelab terkemuka di England dan Eropah.

Namun, Brentford berjaya memenangi persaingan untuk mendapatkan khidmat pemain berintensiti tinggi.

Keputusan Henderson untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan tempatnya dalam skuad kebangsaan England kendalian Thomas Tuchel menjelang Piala Dunia tahun depan.

Beliau yang mengumpul 84 kaps bersama England, dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan bekas kapten Bees, Christian Norgaard yang menyertai Arsenal.

Perincian perjanjian dijangka akan disahkan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Perpindahan tersebut menandakan kembalinya Henderson ke kancah Liga Perdana Inggeris selepas meninggalkan Liverpool pada tahun 2023.

Sepanjang 12 tahun kariernya di Anfield, Henderson telah meraih pelbagai kejuaraan termasuk Liga Perdana Inggeris gelaran liga pertama kelab itu dalam tempoh 30 tahun – Liga Juara-Juara, Piala FA, dua Piala Liga, Piala Kelab Dunia, Piala Super UEFA, dan Perisai Komuniti.

Henderson meninggalkan The Reds untuk menyertai Al-Ettifaq dalam Liga Pro Saudi, namun tempohnya di sana hanya bertahan kurang enam bulan sebelum menyertai Ajax pada Januari 2024.

Beliau membuat lebih 50 penampilan untuk Ajax tetapi terlepas gelaran liga apabila PSV Eindhoven dinobatkan juara pada hari terakhir musim lalu.

Henderson tidak tersenarai dalam skuad Gareth Southgate untuk Euro 2024 kerana tidak beraksi bersama England sejak 2023.

Namun, selepas Thomas Tuchel dilantik sebagai pengendali England pada Januari lalu, Henderson telah dipanggil untuk kedua-dua skuad bimbingan jurulatih Jerman itu, dengan membuat tiga penampilan.

Scroll to Top