Henti api-apikan sentimen agama

Henti api-apikan sentimen agama

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Semua pihak digesa menghentikan retorik yang mengapi-apikan sentimen agama bagi mengelakkan ketegangan antara masyarakat terus memuncak.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, isu sensitif tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia hanya akan mengaburkan permasalahan sebenar dan berisiko memperbesarkan ketegangan dalam masyarakat.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai pertikaian berkaitan isu agama atau pembinaan rumah ibadat sewajarnya menyelesaikannya melalui saluran undang-undang serta mekanisme dialog yang sah dan ditangani secara tertib.

“Kami memandang serius insiden pembakaran kenderaan dan kejadian kepungan oleh pihak yang tidak dikenali baru-baru ini.

“Apa jua latar belakang atau motif di sebalik kejadian itu, sebarang bentuk keganasan, ancaman atau intimidasi sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, perbuatan melanggar undang-undang serta mengambil tindakan sendiri bukan sahaja menjejaskan keselamatan awam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih luas dalam masyarakat.

Menurutnya, pemeliharaan keharmonian masyarakat majmuk menuntut setiap pihak menghormati peraturan yang ditetapkan selain mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat.

“Islam sendiri mengingatkan umatnya agar mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan permusuhan antara agama.

“ABIM menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh serta telus bagi memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Muhammad Fathi Ismail berkata, isu sensitif membabitkan agama tidak wajar diperdebatkan secara terbuka kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Perbincangan berkaitan agama perlu dikendalikan secara berhati-hati kerana ia boleh memberi kesan negatif sekiranya disalahgunakan atau diperdebatkan secara terbuka terutama di media sosial.

“Ia boleh memberi impak negatif kepada masyarakat. Jika boleh, kerajaan perlu lebih tegas dalam menangani isu 3R ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memperbanyak usaha memberi kesedaran kepada masyarakat supaya perkara berkenaan tidak berlarutan sehingga menjejaskan perpaduan yang sedia terjalin.

“Perbincangan berkaitan agama sepatutnya dilakukan secara ilmiah dan beradab, bukannya dijadikan medan untuk memenangi perdebatan di media sosial sehingga boleh menimbulkan penghinaan atau persendaan yang mencetuskan emosi serta kemarahan masyarakat,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan tiga kenderaan Cikgu Chandra terbakar dalam kejadian yang dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali di perumahan Taman Kinrara, Puchong dekat sini pada 9 Mac lalu dan kelmarin.

Selain itu, pendakwah bebas, Zamri Vinoth turut mendakwa diserang sekumpulan lelaki, namun dia berjaya melarikan diri. Bagaimanapun dalam kejadian itu, cermin keretanya pecah selepas dipercayai dibaling dengan batu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top