Henti dasar ‘Free Enterprise’, kurangkan beri lesen kurier – Utusan Digital

Henti dasar ‘Free Enterprise’, kurangkan beri lesen kurier – Utusan Digital

ALOR SETAR: Kerajaan perlu segera menghentikan dasar ‘Free Enterprise’ selain mengurangkan jumlah pemberian lesen perkhidmatan kurier demi menyelamatkan syarikat tempatan terutamanya Pos Malaysia.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, pemberian lesen yang terlalu banyak dalam industri perkhidmatan kurier selama ini menyebabkan berlaku penawaran harga terlalu rendah hingga dikhuatiri ‘membunuh’ syarikat lama termasuk Pos Malaysia.

Katanya, pada masa ini terdapat antara 30 hingga 40 syarikat kurier sedang beroperasi di negara ini dengan syarikat asing dilihat memonopoli industri berkenaan.

“Dengan modal besar, syarikat luar negara membuka beribu cawangan di seluruh negara dan menawarkan harga perkhidmatan serta peralatan yang amat murah. Perbuatan ini akan ‘membunuh’ majoriti syarikat dalam negara.

“Jika kerajaan sayangkan rakyatnya, maka dasar ‘Free Enterprise’ perlu dihentikan selain mengurangkan jumlah pemberian lesen perkhidmatan kurier,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai penamatan kontrak 100 ‘rider’ Pos Malaysia di seluruh negara bermula 1 Julai lalu.

Pos Malaysia mendakwa, penamatan kontrak itu berpunca daripada lebihan sumber manusia yang mendorong syarikat tersebut merasionalisasikan program ‘Pos Rider’ bagi menyesuaikan kos dan mengoptimumkan sumber sedia ada.

Menurut syarikat berkenaan, keputusan itu terpaksa dibuat demi kemapanan perniagaan selain menjaga kepentingan lebih 13,600 kakitangan barisan hadapannya di seluruh negara.

Sementara itu Anuar berkata, semua pihak terlibat diminta untuk kembali mempertimbangkan keputusan tersebut demi kelangsungan hidup 100 ‘Pos Rider’ berkenaan.

“Atas nama kemanusiaan, saya mohon merayu kepada pengurusan tertinggi Pos Malaysia serta kerajaan supaya membuat pertimbangan agar membenarkan kesemua 100 ‘Pos Rider’ itu terus berkhidmat dengan syarikat berkenaan,” katanya.

Scroll to Top