nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS meminta semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan tidak sihat dengan mengatakan terdapat beberapa parti tidak setuju PAS mengetuai Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut mengakui agak dukacita dengan kenyataan berkenaan.
“Ada beberapa pihak cuba membuat andaian tidak tepat kononnya ada dua parti bukan Melayu tidak setuju PAS mengetuai PN.
“Apabila kita berhubung dengan pimpinan parti berkenaan, katanya mereka tiada masalah dengan PAS dan kenyataan itu bukannya daripada parti.
“Justeru, saya meminta berhentilah dengan kenyataan tidak sihat itu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan amanat khas secara tertutup kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, pengerusi baharu PN dijangka dipilih daripada kalangan pemimpin tertinggi atau kanan PAS.
Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN itu dilaporkan berkata, jawatan dikosongkan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan ditentukan melalui perbincangan dalam gabungan dan bukannya secara unilateral oleh mana-mana parti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




