Hentikan beri makan gajah di Jalan Raya Timur-Barat

Hentikan beri makan gajah di  Jalan Raya Timur-Barat

Ipoh: Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meletakkan longgokan buah-buahan bakal mengundang kehadiran gajah serta meningkatkan risiko serangan haiwan itu terhadap pengguna laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team, Mohd Amir Faizal berkata, ia berdasarkan rondaan dilakukan rakan sukarelawan yang menemukan longgokan buah-buahan diletakkan di beberapa lokasi sekitar JRTB sejak 11 Mei lepas.

“Saya juga sendiri pernah dihubungi seseorang mewakili sebuah pertubuhan yang meminta untuk meletakkan buah-buahan di JRTB. Saya beri amaran, namun dengan bukti bergambar yang diterima ini, nampak seperti mungkin (amaran) tidak diendahkan.

“Daripada makluman rakan-rakan, mereka letakkan longgokan ini pada malam hari selain terdapat tiga lokasi yang diletakkan longgokan buah-buahan ini, iaitu di kawasan Titi Gajah, Tugu Peringatan Pembinaan JRTB serta kawasan berdekatan jajahan Jeli (Kelantan),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, tular di Facebook milik Mohd Amir bukti bergambar longgokan buah-buahan seperti mangga dan pisang diletakkan di tepi jalan laluan JRTB yang diketahui menjadi habitat semula jadi hidupan liar seperti gajah, beruang, harimau belang, harimau kumbang, tapir dan sebagainya.

Laluan JRTB sejauh 123 kilometer yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli itu dibina pada 1970 dan mula dibuka kepada pergerakan lalu lintas sekitar 1 Julai 1982.

Mohd Amir berkata, jika amalan atau perbuatan itu tidak ditegah, dikhuatiri akan lebih ramai individu akan bertindak sama seolah-olah ia satu perkara yang baik serta memudahkan hidupan liar di kawasan itu memperoleh makanan.

“Fitrah haiwan liar itu perlu mencari makan sendirian. Tak perlu kita ‘baik tak bertempat’ untuk letak makanan di situ. Perbuatan ini sebenarnya tidak bertanggungjawab dan akan menyusahkan pengguna yang sering gunakan JRTB untuk menyelesaikan urusan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata, tiada penguatkuasaan khusus boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perbuatan berkenaan.

Beliau berkata, bagi memastikan perbuatan itu dicegah, pihaknya akan memasang lebih banyak tanda atau simbol peringatan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi arahan ditetapkan sepanjang melalui JRTB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top