Hentikan berpakaian, perilaku seperti wanita – Mohd Na'im

Hentikan berpakaian, perilaku seperti wanita – Mohd Na'im

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Mana-mana lelaki Muslim termasuk yang terbabit dalam bidang fesyen perlu menghentikan perilaku yang bertentangan dengan ajaran dan nilai agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia berikutan fungsi seseorang lelaki dalam Islam adalah sebagai pemimpin (qawwam).

“Kalau pendekatan yang dibawa dalam (pertunjukan) fesyen ini yang cuba nak membawa (keadaan) menyerupai wanita contohnya dengan lenggang-lenggok keperempuanan, bagaimana kita nak bawa nilai qawwam?

“Kita tekankan semula untuk mereka (lelaki) yang cuba meniru (wanita) supaya tidak meneruskan cara yang sama sebab ini bertentangan dengan nilai agama itu sendiri.” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HiSDAM) 2025, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas perasaan tidak senang orang awam termasuk pengguna media sosial terhadap tindakan sekumpulan lelaki yang mengenakan pakaian seperti wanita termasuk gaun, aksesori, dan penampilan yang mencolok mata pada satu program pertunjukan fesyen baru-baru ini.

Beliau berkata, teguran membabitkan tindakan segelintir lelaki beragama Islam berpakaian wanita juga pernah disuarakan pihak berkuasa agama sebelum ini.

Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mempunyai garis panduan jelas untuk penganjur atau mana-mana pihak yang mahu berkarya.

“Kita berharap semua pihak dapat mematuhi garis panduan itu pada masa depan.

“Pada masa sama, agensi agama seperti JAKIM juga sentiasa berbincang dengan kementerian lain termasuk Kementerian Komunikasi supaya garis panduan itu dapat dipatuhi kerana ia bertujuan memastikan umat Islam tidak tersasar daripada ajaran agama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top