Hentikan budaya ‘Ali Baba’, perkenal pangkalan data usahawan Bumiputera

Hentikan budaya ‘Ali Baba’, perkenal pangkalan data usahawan Bumiputera

PUTRAJAYA – Budaya ‘Ali Baba’ perlu dihentikan dan hanya membantu usahawan bumiputera yang tulen sahaja dengan memperkenalkan pangkalan data khusus sesuatu kaum yang dikawal oleh kerajaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengemukakan idea itu berkata, ia bagi memastikan bantuan yang disalurkan kepada Bumiputera tidak disalah guna.

“Kita tidak mahu lagi konsep Ali Baba ini, kita hendak bagi kepada bumiputera tulen, kalau ada polisi atau dasar baru, kena bagi kepada bumiputera tulen.

“Saya telah cadangkan kita kena ada satu pangakalan data…pangakalan data yang kerajaan kawal, dia tahu bumiputera tulen. Tidak boleh di MOF (Kementerian Kewangan) lain, di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia) lain, di kementerian lain, tidak boleh,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sesi Diskusi Madani 1: Aspirasi Perpaduan Memperkukuhkan Agenda Bumiputera sempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), di sini, hari ini.

Turut menjadi panel pada sesi itu adalah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan manakala Sherkawi Jirim bertindak selaku moderator.

Pada sesi diskusi itu, Johari turut menyeru masyarakat Bumiputera agar bangkit menjadi bangsa usahawan dengan mendalami ilmu dan pengetahuan berkaitan perniagaan bagi mengelak diri mereka terus terjerat dalam budaya ‘ali baba’.

Beliau berkata, seseorang usahawan Bumiputera tidak akan mampu berjaya, sekiranya hanya berharap kepada bantuan kerajaan semata-mata.

“Dalam konteks nak membangunkan mana-mana usahawan tak kira Bumiputera atau bukan, terutama Bumiputeralah, kalau kerajaan saja nak kena membantu, dia tak akan menjadi. Masyarakat Bumiputera itu sendiri, dia kena bantu mereka, baru dia lengkap kitaran itu. Kalau hanya harapkan kerajaan saja, sukar.

“Usahawan Bumiputera juga kena membantu diri mereka dengan meningkatkan ilmu keusahawanan ini,” katanya.

Budaya ‘Ali Baba’ dirujuk sebagai sistem perniagaan yang memakai nama Melayu (Ali) atau kelihatan saja dimiliki atau diuruskan oleh orang Melayu tetapi sebenarnya diselenggarakan oleh bangsa lain (Baba).

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucaptama KEB 2024 berkata, kerjasama ekonomi di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera telah wujud sejak zaman Dasar Ekonomi Baharu (DEB), namun sebahagian jalinan itu masih boleh dipertikaikan ketulenannya.

Pengerusi KEB 2024 itu berkata, melalui Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB), aktiviti ekonomi hanya atas nama Bumiputera sahaja sepatutnya tidak lagi dibenarkan untuk wujud.

Beliau lebih cenderung untuk melihat Ali dan Baba yang benar-benar berfungsi melaksanakan aktiviti perniagaan, serta Ali dan Baba yang terlibat dengan pengurusan, pentadbiran dan pelaksanaan perniagaan.

Sementara itu, KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertujuan memperluas agihan ekonomi dan mengembangkan lagi ekonomi bumiputera selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani. – Malaysiagazette