PUTRAJAYA: Kesilapan yang berulang membabitkan pengurusan sumber manusia dalam sektor awam perlu dihentikan dengan mengenal pasti dan menangani punca sebenar, bukan sekadar menyelesaikan isu di peringkat proses.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kemampuan sesebuah sistem pentadbiran perlu dinilai secara jujur, termasuk melihat sama ada kesilapan sama masih terus berulang.
“Ukuran paling asas terhadap kualiti sesebuah sistem ialah sama ada kesilapan yang sama masih terus berulang. Jika ia berulang, itu menandakan puncanya belum ditangani,” katanya ketika berucap sempena Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Menurut beliau, kesilapan dalam urusan pelantikan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pelarasan gaji, tatatertib dan pengurusan prestasi tidak seharusnya dijadikan kebiasaan.
Jelasnya, kes yang kelihatan kecil pada peringkat proses berupaya memberi impak besar kepada pegawai serta kredibiliti organisasi.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2024 telah melaksanakan 61 program khidmat rundingan di peringkat kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (PSUK) Negeri menerusi sesi libat urus, penyelesaian kes secara langsung serta perkongsian dasar terkini.
Katanya, persidangan tahun ini turut membawakan pendekatan lebih interaktif melalui Sesi Bicara Berimpak Tinggi dan Klinik Perkhidmatan Awam yang diharapkan dapat menjadi pusat sehenti bagi penyelesaian masalah perkhidmatan menerusi kaedah Case Clinic.
“Sebanyak 34 kaunter pakar sumber manusia melibatkan enam urusan utama turut disediakan merangkumi aspek perkhidmatan, organisasi, modal insan, saraan, pencen serta kesejahteraan holistik,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Wan Ahmad Dahlan berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kesilapan pengurusan sumber manusia sehingga boleh menyebabkan penjawat awam yang telah berkhidmat puluhan tahun tidak dapat menikmati pencen sebagaimana yang diharapkan.
“Kita tidak mahu penjawat awam yang telah menabur bakti sekian lama akhirnya dinafikan kebajikan yang seharusnya mereka dapat apabila mereka menamatkan perkhidmatan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, perkongsian dan platform seperti persidangan itu diharap dapat mengurangkan kesilapan pengurusan sumber manusia sehingga tidak berlaku lagi kesilapan yang boleh merugikan penjawat awam. – UTUSAN
