Cortina d’Ampezzo, Itali: Atlet skeleton Ukraine, Vladyslav Heraskevych tidak akan dibenarkan memakai ‘topi keledar peringatan’ bagi menghormati mereka yang terkorban dalam perang dengan Rusia pada saingan Sukan Olimpik Musim Sejuk, kata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), hari ini.
Jawatankuasa Olimpik Ukraine sebelum ini membuat permohonan supaya Heraskevych dibenarkan memakai topi keledar berkenaan, yang memaparkan imej atlet Ukraine yang terkorban dalam konflik dengan Rusia sejak pencerobohan Moscow ke atas negara itu pada 2022.
“IOC memahami sepenuhnya keinginan atlet untuk mengingati rakan yang kehilangan nyawa dalam konflik itu,” kata jurucakap IOC, Mark Adams pada sidang media.
“Dia telah melakukannya ketika sesi latihan dan meluahkannya di media sosial, tetapi apa yang kami nyatakan ialah topi keledar ini bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan.”
Adams berkata, IOC akan membuat pengecualian terhadap garis panduan itu dan membenarkan Heraskevych memakai lilitan lengan hitam kosong ketika pertandingan.
“Kami merasakan ini satu kompromi yang baik,” tambahnya.
Semalam, Heraskevych berkata, seorang wakil IOC telah memaklumkan kepadanya bahawa dia tidak dibenarkan menggunakan topi keledar itu, yang dipakainya semasa latihan.
Latihan lanjut dijadualkan berlangsung lewat petang ini dengan pertandingan bermula pada Khamis.
“Topi keledar itu dicipta bagi menghormati atlet Ukraine yang terkorban ketika mempertahankan Ukraine atau yang menjadi mangsa perang berskala penuh Rusia terhadap Ukraine,” kata Jawatankuasa Olimpik Ukraine dalam satu kenyataan.
“NOC Ukraine menegaskan ia mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan dan peraturan IOC, tidak mengandungi iklan, slogan politik atau unsur diskriminasi serta telah disahkan memenuhi piawaian ditetapkan semasa sesi latihan rasmi.”
Topi keledar itu memaparkan pelbagai atlet yang terkorban dalam perang termasuk beberapa rakan Heraskevych sendiri.
Heraskevych memberitahu Reuters, topi keledar itu memaparkan atlet angkat berat remaja, Alina Perehudova; peninju, Pavlo Ischenko; pemain hoki ais, Oleksiy Loginov; pelakon dan atlet, Ivan Kononenko; penyelam dan jurulatih, Mykyta Kozubenko; penembak, Oleksiy Habarov serta penari, Daria Kurdel.
Heraskevych yang pernah mengangkat papan tanda “No War in Ukraine” pada Sukan Olimpik Beijing 2022 beberapa hari sebelum pencerobohan Rusia berkata, dia berniat untuk menghormati peraturan Olimpik yang melarang demonstrasi politik di venue, sambil memastikan nasib Ukraine terus diberi perhatian sepanjang temasya.
Peraturan 50.2 Piagam Olimpik menyatakan: “Sebarang bentuk demonstrasi atau propaganda politik, agama atau perkauman tidak dibenarkan di mana-mana tapak, venue atau kawasan Olimpik.”
Susulan pencerobohan Moscow, atlet dari Rusia dan sekutunya, Belarus sebahagian besarnya dihalang daripada sukan antarabangsa, namun IOC sejak itu menyokong kemasukan semula secara berperingkat di bawah syarat ketat.
© New Straits Times Press (M) Bhd



