sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berharap Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) dapat menambah bilangan tukang urut sukan (sport masseur) dalam pasukan demi memastikan setiap pemain mendapat pemulihan yang lebih baik.
Jelasnya, ketika ini memang sudah ada tukang urut yang mengikuti mereka ke setiap kejohanan, cuma memerlukan tambahan memandangkan jadual perlawanan setiap pemain adalah berbeza.
Justeru, dengan adanya kakitangan sokongan yang mencukupi, secara tidak langsung produktiviti kerja juga akan menjadi lebih baik dan tersusun.
“Untuk perancangan akan datang, saya rasa permintaan kita adalah menambah ‘sport masseur’ kerana setiap pertandingan kita ada banyak pemain. Jadi kalau tukang urut hanya satu atau dua orang sahaja, saya rasa itu tidak cukup kerana jadual pertandingan bermula dari pagi sampai malam.
“Mungkin seorang jaga dua atau empat pemain ok, tapi tak boleh satu orang jaga semua pemain sebab dia pun manusia, mesti letih.
“Bagi saya, sebaiknya kalau dapat tukang urut khusus seperti dua orang untuk menjaga pemain dalam RTG itu lebih baik. Seorang jaga dua pemain. Itu lebih bagus kerana kita perlu lakukan pemulihan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Selain itu, Herry turut berharap makanan tambahan seperti vitamin juga dapat dibekalkan kepada barisan pemain kerana mereka dapat mengekalkan tahap kecergasan dan mengelak daripada berlaku kecederaan serius.
Untuk makluman, perkhidmatan tukang urut dalam sukan bukanlah sesuatu yang baharu kerana mereka memainkan peranan yang cukup penting bagi memastikan pemain mendapat pemulihan yang cepat serta mengelak daripada keletihan berpanjangan sebelum turun beraksi.
Apatah lagi, jadual kejohanan mereka hampir setiap minggu dan itu memerlukan sokongan yang cukup kuat dari segi mental dan kesihatan.
Ketika ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah mempunyai tukang urut sukan yang sering mengikuti pemain ke pertandingan luar negara, namun jumlah itu masih dilihat tidak mencukupi untuk menjaga keseluruhan atlet yang bertanding.
© New Straits Times Press (M) Bhd