Hidalgo: TMJ pendorong kemenangan JDT

Hidalgo: TMJ pendorong kemenangan JDT
Hidalgo: TMJ pendorong kemenangan JDT

TMJ berkenan bersama pemain JDT meraikan kejayaan selepas menewaskan Kuching City, 2-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. Foto: Bernama

 

PEMAIN sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo, berkata keinginan mendalam untuk meraih gelaran bersejarah sebagai juara Piala Malaysia empat musim berturut-turut didorong kepimpinan berwawasan dan kata-kata motivasi daripada The Boss atau pemilik JDT, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

 

Bercakap selepas kemenangan 2-0 menewaskan Kuching City FC dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, Hidalgo berkata kejayaan Harimau Selatan itu ialah cara mereka membalas sokongan padu Tunku Mahkota Ismail terhadap JDT.

 

“Beliau sentiasa bercakap dengan baik… pemimpin yang hebat… kami masuk ke padang dengan penuh keinginan untuk meraih kejayaan.

 

“Beliau melakukan segala-galanya untuk kami, untuk keluarga kami, jadi kami membalasnya dengan kemenangan,” katanya.

 

Kejayaan JDT malam tadi menjadikannya kelab pertama dalam sejarah menjulang trofi berprestij itu empat musim berturut-turut, satu pencapaian yang disifatkan Hidalgo sebagai kemuncak musim yang belum pernah dilalui Harimau Selatan itu.

 

“Musim ini musim yang bersejarah. Kami mencapai banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kami gembira. Kini, kami akan berehat dan kembali lagi tahun depan,” katanya.

 

Mengulas perlawanan itu apabila beliau digantikan lebih awal, Hidalgo berkata keputusan tersebut ialah langkah strategik oleh jurulatih untuk memastikan kemenangan.

 

“Saya fikir langkah itu ialah keputusan taktikal. Jurulatih yang memutuskan, saya ikut sahaja arahan itu,” katanya.

 

Dalam pada itu, Hidalgo memberikan bayangan tentang statusnya sebagai pemain naturalisasi untuk pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

 

“Tidak lama lagi mungkin anda dapat jawapannya. Saya mengharapkannya dan saya sangat teruja,” katanya. – Bernama

 

Scroll to Top