harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perkongsian gambar percutian sepasang suami isteri menjadi episod ngeri apabila ia dicuri sindiket penipuan sehingga mereka dihina dan dicaci warganet.
Tan, 40, berkata, dia tidak menyangka sekeping gambar mampu mengakibatkan kehidupan mereka tunggang terbalik sehingga isterinya terpaksa hidup dalam ketakutan walhal mereka cuma mangsa keadaan.
Menurutnya, dia hanya menyedari gambar itu digunakan sindiket penipuan kononnya menjual set masakan panas selepas ia tular di media sosial awal April lalu.
“Pada 2 April, sekitar jam 11 pagi, isteri saya menerima mesej daripada rakan sekolah saya. Dia menghantar pautan aplikasi media sosial yang menunjukkan gambar profil kami dicuri.
“Gambar kami disalahgunakan untuk satu iklan. Kami sangat terkejut. Gambar lama kami di Facebook (FB) tangkap layar dijadikan gambar profil WhatsApp oleh penipu berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Pekerja swasta itu berkata, mereka membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sejurus mengetahui berhubung perkara itu namun tidak tahu sudah berapa lama gambar mereka disalah guna penipu.
Katanya, hasil carian di media sosial mendapati ramai mangsa terpedaya dengan helah sindiket dan membuat pesanan melalui akaun FB milik penjenayah.
“Ramai (mangsa) yang pesan makanan dan bayar melalui kod QR dikongsi oleh satu akaun WhatsApp menggunakan gambar saya, jadi bila makanan tak sampai mereka geram, marah, bila perut lapar lagi marah, jadi ramai yang sebarkan gambar itu dengan cacian.
“Tetapi perkara itu tidak begitu tular mungkin kerana jumlah (setiap transaksi) kecil dalam RM100 ke RM200 jadi mungkin mereka yang tak dapat makanan ini malas mahu memperbesarkan hal itu,” katanya.
Menurutnya, imej yang dicuri adalah gambar profil daripada akaun FB yang mana sudah ‘dikunci’ menerusi tetapan aplikasi itu bagi menghalang individu tidak dikenali melihat halaman peribadi miliknya.
Katanya, penjenayah turut menggerakkan ‘askar’ menggunakan beberapa akaun media sosial palsu untuk membuat hantaran jelik dan berbaur fitnah menggunakan gambar mangsa seolah-olah melarikan diri.
Tan berkata, dia mula mengesan hantaran jelik dan tidak berasas itu selepas membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Setakat ini tiada yang mengugut atau mengancam kami secara terus tetapi kami risau dan ketakutan kerana gambar kami sudah disalahgunakan oleh penjenayah.
“Kami juga mangsa, kami tidak buat salah. Jadi hari ini kami datang ke sidang media ini untuk membersihkan nama serta menjelaskan perkara sebenar yang terjadi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




