Manchester: Manchester City sudah sampai ke tahap ‘hidup mati’ dalam Liga Juara-Juara (UCL) lebih awal daripada yang dijangkakan menjelang apa yang Pep Guardiola sifatkan sebagai “final” berdepan Club Brugge awal pagi Khamis ini.
City menangkis tanggapan bahawa format baru untuk pertandingan kelab terbaik Eropah akan menghapuskan sebarang risiko bagi kelab-kelab terkemuka apabila Guardiola berhadapan dengan kemungkinan gagal untuk mara ke peringkat kalah mati UCL buat kali pertama dalam kariernya.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berdepan musim yang sukar, baik dalam mempertahankan gelaran EPL mereka mahupun di peringkat Eropah.
Satu kemenangan dalam 13 perlawanan, termasuk kekalahan dalam UCL kepada Sporting Lisbon dan Juventus, antara Oktober dan Disember adalah kemuncak kejatuhan City.
Barisan pemain Guardiola kembali bangkit di EPL memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir mereka untuk berada di kelompok empat teratas.
Namun, kelemahan City kembali terdedah minggu lalu apabila Paris Saint-Germain bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mencatatkan kemenangan 4-2 dan hampir meranapkan impian juara 2023 itu.
Kehilangan pemenang Ballon d’Or, Rodri, yang mengalami kecederaan lutut yang mengakhiri musimnya pada September lalu, adalah satu tamparan hebat, ditambah pula dengan beberapa isu kecergasan di bahagian pertahanan tengah, di mana Ruben Dias, Nathan Ake, dan John Stones semuanya sudah terlepas banyak perlawanan musim ini.
Bekas kapten, Kyle Walker, mengejutkan kelab dengan permintaan untuk meninggalkan pasukan awal bulan ini sebelum menyertai AC Milan secara pinjaman.
Semua itu memaksa City merombak rancangan asal mereka dan berbelanja besar pada jendela perpindahan Januari ini.
Lebih daripada £120 juta (RM////juta) sudah dibelanjakan untuk penyerang Mesir, Omar Marmoush, serta pemain pertahanan muda, Vitor Reis dan Abdukodir Khusanov.
Namun, ketiga-tiga pemain itu tidak akan dapat membantu dalam perlawanan menentang juara Belgium, Brugge, yang belum tewas dalam 21 perlawanan dalam semua pertandingan, kerana mereka tidak layak beraksi di peringkat itu dalam UCL.
“Kami tidak akan melakukannya jika pemain kami cergas, tetapi hari ini saya rasa kami hanya ada dua pemain pertahanan tengah, tiada lagi selain itu dan dengan pemain tengah kami, kami sedang bergelut.
“Selepas lapan tahun bersama, kami mempunyai begitu banyak pemain yang berusia lebih dari tiga puluh tahun dan sebab lain ialah ketersediaan pemain. Ia adalah proses yang sangat normal,” kata Guardiola mengenai perbelanjaan Januari.
City kini berada di tempat ke-25 dalam carta 36 pasukan dan mesti menamatkan saingan dalam 24 pasukan terbaik untuk mengelakkan penyingkiran.
Namun, kemenangan akan memastikan mereka mara kerana Brugge berada tiga mata di atas mereka dengan perbezaan gol yang lebih rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




