Milan: Napoli berada di ambang tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila kelab Itali yang bergelut itu bakal menentang Chelsea pada Khamis dalam keadaan krisis kecederaan serius serta sukar pertahankan gelaran Serie A.
Menghuni zon penyingkiran dengan hanya lapan mata daripada tujuh perlawanan selepas seri hambar 1-1 menentang FC Copenhagen minggu lalu, Napoli wajib menewaskan Chelsea untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan play-off bulan depan.
Namun tugasan itu bukan mudah apabila Chelsea, bekas kelab pengendali Napoli Antonio Conte, turut memerlukan kemenangan bagi kekal dalam kelompok lapan terbaik dan meraih tiket automatik ke pusingan 16.
Napoli turut turun dengan luka masih berdarah susulan kekalahan 0-3 kepada Juventus, keputusan yang menyaksikan juara Itali itu kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Serie A, Inter Milan.
Kekalahan di Turin itu dianggap tamparan hebat buat Napoli dan Conte, namun jurulatih berpengalaman itu tetap memuji pemainnya yang berjuang dalam situasi sukar akibat lambakan kecederaan.
“Bagi kami, kecederaan adalah sesuatu yang perlu diterima. Ia situasi sukar dan tidak mudah diurus. Ia mencabar untuk staf dan pemain mengekalkan rentak.
“Tetapi itu sebahagian daripada bola sepak. Anda perlu menerimanya dan memberi segalanya untuk pemain yang bersedia dan layak diturunkan. Esok, tahap prestasi maksimum amat diperlukan.” kata Scott McTominay.
Hasrat Conte untuk muncul jurulatih pertama Napoli memenangi kejuaraan Serie A berturut-turut terganggu sejak awal musim akibat masalah fizikal pemain.
Ia bermula dengan kecederaan hamstring Romelu Lukaku pada pra-musim yang menyaksikan dia hanya kembali beraksi pada minit ke-79 ketika tewas kepada Juventus, Ahad lalu.
Lukaku menggantikan pemain akademi, Antonio Vergara yang diturunkan bagi mengisi kekosongan Matteo Politano, manakala pemain baharu Giovane membuat penampilan sulung sebagai pemain gantian, dengan Conte mengakui dia belum sempat melihat pemain itu berlatih.
Napoli turut kehilangan penjaga gol utama Vanja Milinkovic Savic akibat kecederaan hamstring, manakala pemain sayap David Neres terbang ke London pada Isnin untuk menjalani pembedahan buku lali yang dijangka mengetepikannya sehingga April.
Selain itu, Kevin De Bruyne tidak beraksi sejak Oktober dan hanya dijangka kembali pada musim bunga selepas menjalani pembedahan hamstring kanan, manakala tonggak tengah Andre-Frank Anguissa terpaksa diketepikan walaupun dijangka pulih akibat kecederaan belakang.
“Saya cabar sesiapa mencari pasukan yang berdepan semua masalah ini, sedangkan kita baru separuh musim.
“Kami bermula dengan anggapan situasi kecemasan akan berakhir, tetapi masalah itu bukan sahaja berterusan, malah semakin teruk.
“Pemain melakukan sesuatu yang luar biasa, namun ia tidak dihargai kerana kedudukan liga dan keputusan perlawanan. Sejujurnya, jika sejak awal musim diberitahu inilah skuad kami, pasti ramai berkata kami tidak ke mana.
“Tetapi kami masih di sini, masih berjuang dan masih mendongak,” kata Conte.
Satu-satunya khabar baik buat Conte ialah kepulangan Lukaku yang menggantikan De Bruyne dalam skuad Eropah Napoli, sekali gus membuka peluang penyerang Belgium itu berdepan semula Chelsea, kelab yang menyaksikan tempohnya empat tahun lalu berakhir dengan kegagalan.
Musim lalu, 11 mata sudah memadai untuk mengelak penyingkiran, dan kemenangan hampir pasti membawa Napoli ke peringkat seterusnya sekali gus memberi sedikit kelegaan buat pasukan yang keletihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




