Hijab bukan beban untuk mencapai impian – Syasya Rizal

PETALING JAYA: Penyanyi, Syasya Rizal, 25, memaklumkan selepas berhijrah, dia tidak lagi menggunakan khidmat penari lelaki untuk mengiringi persembahannya.

Kata bekas ahli kumpulan Dolla itu, perkara tersebut selari dengan penghijrahannya yang mengenakan tudung sekitar 2024.

“Kalau anda perasan, pasukan saya semua perempuan. Bahkan ada yang komen, bertanya sama ada jurusolek saya lelaki atau perempuan. Hakikatnya saya tidak lagi menggunakan khidmat jurusolek lelaki.

“Apabila berhijrah, saya buat sepenuhnya. Malah suami saya ada di sisi apabila saya bekerja dengan komposer lelaki,” katanya.

Syasya berkata demikian ketika melancarkan single berjudul Diferent dan tayangan music video di pejabat Universal Music, dekat sini.

Syasya dalam masa yang sama memaklumkan berhijab tidak menghalang impiannya untuk meneruskan pembabitan dalam bidang muzik.

“Kalau ingin kekalkan genre begini, saya akan pastikan penari saya juga adalah perempuan dan bertudung.

“Bertudung tidak menghalang seseorang itu menggapai cita-citanya. Dalam kes saya adalah nyanyian.

“Hijab bukan bebanan untuk seseorang itu mencapai apa yang mereka impikan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Syasya memaklumkan dia kini lebih berhati-hati dan menjaga adab seiring imej bertudung.

“Lebih-lebih lagi tarian, memang saya letakkan had. Kalau bandingkan saya dulu dan sekarang, banyak perubahan.

“Sekarang saya tidak lagi menari untuk menayang badan atau dengan cara mengairahkan,” ujarnya.- UTUSAN

Scroll to Top