Hijrah menuntut muhasabah

TANPA disedari tahun 1442 Hijriyyah telah meninggalkan kita, kini kita melangkah ke tahun baru 1443 Hijriyyah. Cepatnya masa berlalu dan melangkahnya kita ke tahun baru bermakna kita juga berpindah ke usia yang semakin meningkat. Bagi mukmin berubahnya tahun tidak bermakna apa-apa jika tidak disusuli dengan rasa insaf dan usaha meningkatkan amal kebajikan.

Advertisement

Perubahan waktu yang berlaku begitu pantas hakikatnya adalah sebahagian dari tanda-tanda kiamat yang pernah diingatkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W di dalam sabdanya:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ (وَهُوَ الْقَتْلُ) حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمُ الْمَالُ فَيَفِيضَ

“Tidak akan berlaku kiamat hingga ilmu diangkat, banyak berlaku gempa bumi, masa menjadi hampir (pantas), berlaku fitnah dan banyak berlaku al-Harj’ iaitu pembunuhan, hingga harta menjadi banyak pada kamu kemudian melimpah ruah.”

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Berdasarkan Hadis ini dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa tanda amaran daripada Rasulullah S.A.W mengenai kedatangan hari kiamat yang semakin hampir apabila tibanya tahun baru. Nabi Muhammad S.A.W telah mengkhabarkan kepada kita tanda-tanda kiamat tersebut sebagai satu amaran agar kita sentiasa bersiap-sedia menempuhnya.

Tanda pertama; ialah ilmu yang semakin berkurang akibat daripada kematian para alim ulamak. Mereka pergi meninggalkan kita dengan membawa ilmu dan kefahaman di dada mereka. Ia juga berlaku akibat daripada jumlah pencinta ilmu semakin sedikit. Ini dapat dilihat melalui kecenderungan manusia kepada sesuatu yang bersifat hiburan melebihi daripada aktiviti keilmuan. Malah program-program ilmu juga terpaksa dibuat dalam bentuk hiburan bagi menarik orang ramai menghadirinya.

Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللهَ لا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ لَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤسَاءَ جُهَّالاً فَأفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah Taala tidak mencabut ilmu itu dengan menghilangkannya daripada hamba tetapi dicabut ilmu itu dengan dimatikan ulamak hingga tiada seorang alim pun, manusia menjadikan golongan jahil sebagai ketua lalu mereka mengeluarkan fatwa tanpa ilmu mereka jadi sesat dan menyesatkan.”

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Tanda kedua; ialah banyaknya berlaku gempa bumi. Ia sudah begitu kerap berlaku di serata dunia pada waktu ini di samping bencana alam yang lain.

Tanda ketiga; ialah masa semakin hampir, iaitu jarak masa menjadi begitu dekat dan kita dapat rasakan bagaimana pantasnya masa berlalu.

Sabda Rasulullah S.A.W dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dengan sanad yang sahih:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ فَتَكُونَ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالْجُمَعَةِ والْجُمُعَةِ كَالْيَوْمِ والْيَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَالسَّاعَةُ كَالضَّرْمَةِ مِنَ النَّارِ

“Tidak akan berlaku kiamat sehingga waktu terasa begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu , seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam, satu jam dirasakan seperti satu sambaran api.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi dinilai Sahih oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya)

Tanda keempat; ialah banyaknya berlaku fitnah yang menjadi amalan biasa di kalangan umat manusia. Demi mencapai cita-cita dunia seperti pangkat dan harta sanggup melakukan fitnah meskipun terhadap orang yang soleh. 

Tanda kelima; ialah banyaknya berlaku kematian sama ada akibat pembunuhan, peperangan dan boleh jadi juga disebabkan wabak. 

Tanda keenam; ialah harta menjadi banyak dan hartawan menjadi begitu ramai sehinggakan orang-orang kaya begitu bangga mempamerkan kekayaan mereka.

Awal Muharram sepatutnya menjadi saat paling baik bagi kita melakukan muhasabah diri. Ini bertepatan dengan saranan al-Quran yang memerintahkan golongan yang beriman agar sentiasa merenung apa yang telah dikerjakan sebagai bekalan untuk kemudian hari. 

Firman Allah Taala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan setiap diri itu hendaklah melihat apa yang telah dilakukan (sebagai persiapan) untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

(al-Hasyr: 18)

Bagi umat Islam sambutan tahun baharu Hijriyyah pastinya berbeza dengan suasana sambutan tahun baharu Masihi yang selalunya diwarnai dengan keraian dan aktiviti hiburan. Ini kerana kalender umat Islam adalah berkait rapat dengan peristiwa Hijrah yang dipenuhi dengan kisah perjuangan jihad mempertahankan Iman dan Islam.

Saidina Umar al-Khattab R.A yang mempopularkan kalender Hijrah amat jelas hasratnya mahu menjadikan umat Islam sebagai umat beridentiti dan bukannya menjadi bangsa pengikut budaya asing. Saidina Umar al-Khattab R.A apabila bersetuju dengan cadangan para Sahabat supaya memulakan kalender Islam dengan tarikh peristiwa Hijrah, adalah kerana peristiwa Hijrah merupakan titik perubahan kepada kegemilangan Islam. Bermula dengan jumlah pengikut yang sedikit di Makkah, sering ditindas, sukar beribadah, disakiti dan dibuli, akhirnya selepas Hijrah ke Madinah umat Islam telah memperolehi tanah air, memerintah negara sendiri, bebas beribadah dan berdakwah, jumlah penganut yang semakin ramai malah telah menjadi umat yang kuat dan dihormati. 

Peristiwa Hijrah menjadi sangat penting kerana ia menunjukkan kepada kita bahawa Sunnah Baginda S.A.W bukan sahaja dalam bentuk dakwah ke masjid tetapi ia lebih luas lagi iaitu dakwah membawa ummah menegakkan sebuah negara Islam yang berdaulat, agar terlaksana di dalamnya semua syariat yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Ini adalah kerana apabila tertegaknya sebuah negara Islam maka keadilan Islam akan dapat ditegakkan dan umat manusia akan terpelihara dari sebarang bentuk kezaliman.

Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Taubah ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

“((Dan jika penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa nescaya akan Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi sebaliknya mereka mendustakan (ajaran Islam), maka Kami timpakan kepada mereka hukuman di atas apa yang telah mereka kerjakan)).”

Hijrah mengajar kita bahawa dua asas utama kekuatan yang perlu dibangunkan segera bagi memperkasa umat Islam iaitu peranan institusi Masjid dan perpaduan ummah. Keputusan Nabi S.A.W melakukan pembinaan masjid seawal Baginda tiba di Madinah al-Munawwarah bukanlah suatu kebetulan sahaja sebaliknya satu sunnah yang mengajar kita bahawa sumber kekuatan utama Islam adalah bermula di masjid.

Masjid hendaklah menjadi tempat membina hubungan dengan Allah, mengatur urusan negara, tempat bermusyawarah dan juga menjadi universiti terbuka kepada umat Islam. Masjid juga seharusnya menjadi tempat berkumpulnya para pemimpin dan rakyat untuk sama-sama merasakan sifat kehambaan kepada Allah dan membuang sifat angkuh dan sombong.

Manakala usaha Nabi S.A.W mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar adalah merupakan bukti bahawa kekuatan umat Islam adalah bergantung kepada perpaduan ummah dan kesatuan hati atas asas iman kepada Allah Taala. Dengan perpaduanlah segala macam bentuk ancaman dapat ditangkis dan usaha meruntuhkan pemerintahan Islam dapat digagalkan. Perpaduan mestilah diasaskan kepada menegakkan keadilan dan memerangi sebarang bentuk kezaliman dan bukan sebaliknya. Allah S.W.T berfirman:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

(Ali-Imran: 103)

Dalam konteks kehidupan individu pula, Hijrah sepatutnya menjadi pemangkin memperkasakan diri agar berubah kepada keadaan yang lebih baik sama ada dari aspek akidah, ibadah, ilmu dan sahsiah. Hijrah menuntut perubahan ke arah keimanan yang lebih mantap dengan meyakini bahawa hanya kembali kepada ajaran Islam secara syumul sahajalah kita akan dapat mengangkat kembali maruah dan harga diri umat Islam. 

Hijrah seharusnya mengingatkan kita semua bahawa berlalunya masa dan berubahnya tahun bererti usia kita semakin meningkat. Meningkatnya usia pula bererti saat hijrah abadi kita iaitu ke alam barzakh sudah semakin hampir. Oleh itu dengan tibanya tahun baru Hijrah sewajarnya kita bermuhasabah mengenai pencapaian amalan pada tahun yang lalu. Solat kita, puasa kita, zikir kita, sedekah kita, tanggungjawab kita dan sebagainya, apakah sudah ditunaikan atau sebaliknya. Amat malang jika soal dunia kita mampu membuat perubahan tetapi soal akhirat tiada sebarang perubahan malah semakin merosot.

Wallahuaklam.

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD – HARAKAHDAILY 10/8/2021