YAYASAN Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) memeterai Pernyataan Persefahaman (MoU) bersama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memacu pertumbuhan usahawan Bumiputera di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mearia Hamzah berkata, usahasama tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Hijrah Selangor sebagai nadi ekosistem keusahawan di negeri Selangor.
Menurutnya, kerjasama tersebut penting dalam melahirkan usahawan Bumiputera berskala sederhana dan matang, selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk membina ekonomi rakyat yang inklusif serta lestari.
“Kerjasama strategik ini membuka peluang lebih luas kepada para usahawan Bumiputera Hijrah Selangor untuk terus berkembang maju dari mikro ke peringkat lebih tinggi.
“Hari ini, Hijrah Selangor berdiri sama tinggi bersama syarikat gergasi negara yang lain dalam memacu pembangunan ekonomi negara.
“Dengan sokongan pembiayaan dan pembangunan usahawan daripada TERAJU, kami yakin lebih ramai usahawan mikro akan berjaya meningkatkan perniagaan mereka berkembang menjadi Perusahaan Kecil dan Sederhana,” katanya ketika pelancaran inisiatif TERAJU Aspirasi Outreach 2026 di sini pada Rabu.

ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad (kanan) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hijrah Selangor bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mearia Hamzah menerima dokumen Pernyataan Persefahaman (MoU) daripada Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi sempena pelancaran inisiatif TERAJU Aspirasi Outreach 2026.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan turut menyaksikan pelancaran Program Pemudahcara TERAJU.
MoU Hijrah Selangor dan TERAJU memberi tiga fokus utama iaitu memperluas akses pembiayaan kepada syarikat Bumiputera yang matang, berpotensi tinggi, memperkukuh pembangunan kapasiti dan sokongan perniagaan selain melaksanakan program bersama bagi memperkasa daya saing usahawan serta mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri
Bertemakan Memacu Masa Depan Usahawan Bumiputera, ia memfokuskan kepada kejayaan usahawan Hijrah yang berkembang daripada mikro kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).
Sejak tahun 2015 hingga Disember 2025, Hijrah Selangor telah menyalurkan 85,000 bilangan pembiyaan kepada usahawan Bumiputera dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM795 juta.
Hijrah Selangor menawarkan dua skim pembiayaan untuk usahawan negeri Selangor iaitu NIAGAPLUS yang menawarkan pembiayaan hingga RM50,000 untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan mikro, kecil dan sederhana.
Sementara itu, SURIPLUS pula menyediakan modal sehingga RM50,000 khas untuk kumpulan usahawanita mengembangkan perniagaan khusus di empat Business Centre (BC) Hijrah Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor.
Ringkasan AI
- Yayasan Hijrah Selangor menandatangani MoU dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera untuk memacu pertumbuhan usahawan Bumiputera di Selangor
- Usahasama ini meningkatkan kedudukan Hijrah Selangor dalam ekosistem keusahawan negeri
- Kerjasama menggalakkan pembentukan usahawan Bumiputera berskala sederhana dan matang
- Memperluas akses pembiayaan dan pembangunan kapasiti usahawan Bumiputera sebagai fokus utama
- Hijrah Selangor menawarkan dua skim pembiayaan, NIAGAPLUS dan SURIPLUS untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan



