Hikmah Ramadan

Hikmah Ramadan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ramadan tahun ini memberi makna besar buat dua mualaf ini apabila kali pertama berpuasa sebagai muslim.

Shah Abdullah, 36, yang baru memeluk Islam pada 26 Februari lalu mengakui berpuasa di Ramadan amat mencabar namun percaya bahawa setiap ujian ada hikmahnya.

Dia yang berasal dari Subang Jaya, Selangor berkata, pengalaman menjalani ibadah puasa buat kali pertama memberi makna besar dalam hidupnya, terutama apabila ia hadir sejurus selepas dia bergelar mualaf.

Shah yang bekerja dalam bidang pembinaan berkata, sebelum memeluk Islam, dia mengakui dirinya sebagai seorang ‘free thinker’.

“Minat terhadap Islam mula timbul sejak beberapa tahun lalu, namun saya menunggu masa yang dirasakan tepat sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk memeluk agama berkenaan pada Februari lalu.

“Ramadan tahun ini adalah yang pertama buat saya sebagai seorang Muslim. Ia pengalaman baharu yang benar-benar menguji kesabaran serta kekuatan iman saya,” katanya.

Katanya, antara cabaran paling sukar sepanjang berpuasa ialah menyesuaikan diri dengan rutin bangun awal untuk bersahur, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

“Pada awalnya memang sukar untuk bangun sahur. Badan juga terasa lemah dan emosi sedikit tidak stabil kerana lapar dan dahaga, tetapi selepas kira-kira dua minggu saya mula menyesuaikan diri.

“Selepas beberapa minggu menjalani ibadah puasa, beliau mula merasakan perubahan positif apabila tubuh menjadi lebih ringan dan bertenaga berbanding sebelumnya,” katanya.

Menurutnnya, sokongan daripada rakan-rakan serta badan kebajikan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) banyak membantu dirinya menyesuaikan diri sebagai seorang mualaf.

“Dorongan serta nasihat yang diberikan memberi kekuatan emosi untuk terus belajar dan memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.

“Selain berpuasa, saya juga melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan termasuk membantu mengagihkan makanan di sebuah masjid di Kuala Lumpur sebagai salah satu cara mendekatkan diri dengan masyarakat Islam,” katanya,.

Shah berkata, Ramadan turut mengajarnya untuk lebih sabar, mengawal emosi serta menjadi individu yang lebih berdisiplin terutama dalam menunaikan solat dan menjalani kehidupan harian.

“Sehingga kini saya masih belum berpeluang menghadiri majlis berbuka puasa bersama komuniti mualaf lain. Saya berharap dapat menyertai program sedemikian pada masa akan datang bagi menambah pengalaman serta kenalan baharu,” katamya.

Menjelang Syawal, Shah mengakui teruja kerana buat pertama kali dapat menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim selain berpeluang menunaikan ibadah di masjid bersama umat Islam lain.

“Harapan saya selepas Ramadan ini adalah untuk terus mendalami Islam dengan menghadiri kelas agama. Kepada rakan-rakan mualaf lain, saya percaya Islam itu indah jika kita memahaminya dengan betul serta sentiasa menghormati semua agama dan manusia,” katanya.

Sementara itu, Suleyman Bothananthan, 39, yang memeluk Islam pada Januari lalu tidak kekok berpuasa memandangkan sudah lima tahun dia menunaikan rukun Islam ketiga meskipun masih menganut agama lain ketika itu.

Suleyman berkata, amalan berpuasa di bulan Ramadan diamalkannya sejak 2021 kerana minat dan mengikut rakan sekerja yang beragama Islam.

Beliau yang menetap di Shah Alam, Selangor bersama ibu bapa bersyukur kerana kedua orang tuanya itu amat memahami cara hidupnya sebagai muslim, malah ibu sendiri yang menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur.

“Ibu dan ayah akan membeli bahan masakan halal termasuk ayam yang disembelih di pasar raya untuk menyediakan juadah kepada saya. Ada kalanya mereka yang ajak saya berbuka puasa bersama.

“Saya turut belajar menunaikan solat Tarawih dan Witir di masjid berhampiran rumah. Alhamdulillah puasa kali ini buat saya rasa sangat tenang,” katanya.

Suleyman berkata, perjalanan mendekati Islam secara mendalam bermula selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya apabila perkahwinannya berakhir dengan penceraian pada 2023.

Bapa kepada dua anak itu berkata, tempoh perpisahan itu menjadi titik perubahan apabila beliau mula mencari ketenangan dan mendalami pelbagai perkara termasuk pengajian Islam.

Selain itu, beliau banyak mendengar ceramah dan pandangan tokoh agama termasuk mendapat sokongan daripada keluarga serta rakan daripada pelbagai latar belakang.

Kini beliau yang sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengurusan Perniagaan di sebuah universiti swasta aktif mengikuti kelas agama termasuk Fardu Ain bagi mempelajari agama Islam dengan lebih baik.

“Saya sangat bertuah kerana keluarga menghormati keputusan saya walaupun ayah agak tegas, tapi dia menerima dengan baik manakala ibu pula lebih berfikiran terbuka kerana mempunyai keluarga campur.

“Malah, kakak saya yang kini menetap di luar negara sudah memeluk Islam sebelum saya,” katanya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, Suleyman mengakui teruja dan mahu menyambutnya bersama keluarga serta kenalan.

“Pengalaman berpuasa memberi perubahan besar dalam diri saya dari segi emosi dan ketenangan jiwa. Saya rasa lebih tenang, sabar dan syukur. Ramadan sebenarnya membentuk diri kita sendiri,” katanya.

Beliau berharap dapat terus memperbaiki diri dan menjadi muslim yang lebih baik pada masa akan datang dan turut menyimpan impian untuk menunaikan umrah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top