Hilang bapa, kakak dalam seminggu akibat Covid-19 – Utusan Digital

KEMAMAN: Duka kehilangan arwah bapa pada Hari Raya Aidiladha lalu masih lagi berbekas di hati Azzhar Ali dan kini dia dikejutkan pula dengan pemergian kakaknya akibat Covid-19.

Azzhar, 41, berkata, bapanya, Ali Mohamad, 70, menghembuskan nafas terakhir pada 20 Julai lalu disusuli Alinda, 57, tujuh hari kemudian selepas bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Katanya, kesihatan bapanya yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi serta jantung itu mula merosot beberapa hari sebelum maut, namun ahli keluarga tidak menyangka gejala tersebut disebabkan mangsa positif wabak berkenaan.

“Arwah ayah tinggal bersama kakak di Felda Neram 2 dan semasa kejadian mereka semua masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 kerana abang ipar saya merupakan kontak rapat kepada pesakit di kilang tempatnya bekerja tetapi keputusan abang ipar pada masa itu negatif.

“Pada hari ayah meninggal dunia di rumah, kakak tiba-tiba mengalami pendarahan pangkal rahim dan disahkan positif Covid-19 hingga terpaksa dikejarkan ke hospital di samping menggunakan alat bantuan pernafasan selama beberapa hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azzhar berkata, kali terakhir dia bercakap dengan kakaknya adalah pada Sabtu lalu menerusi panggilan video dan mangsa mengadu semput walaupun sudah tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kedua-dua jenazah insan tersayangnya itu disemadikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Felda Neram 2.

Menurutnya, abang iparnya, Saadon Abdul Rashid, 53, dan seorang anak saudara turut disahkan positif dan mereka kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kem Wawasan, Besut di samping Kolej Kemahiran Tinggi Mara Mak Lagam, Kemaman, manakala tiga lagi anak mangsa negatif wabak berkenaan.

“Hanya air mata dan doa mengiringi van jenazah yang membawa dua ahli keluarga saya ketika kenderaan itu lalu di hadapan rumah,” katanya.