Selepas musim pertamanya mencatat 9 juta tontonan di televisyen serta 1.5 bilion capaian di media sosial, kisah cinta Aira dan Eijaz kembali menemui penonton menerusi sambungan drama Hilang Dalam Rindu 2 yang bakal menemui penonton bermula Hari Raya Pertama sempena sambutan Aidilfitri dan kempen Ramadan Raya 2026.
Bagi memperkenalkan drama tersebut kepada peminat dan pihak media, satu majlis iftar istimewa HDR2 telah diadakan di Banglo 289, Kuala Lumpur. Acara itu bukan sahaja menjadi sesi berbuka puasa bersama, malah membuka peluang eksklusif kepada para peminat untuk bertemu lebih dekat dengan barisan pelakon serta berkongsi momen bermakna bersama mereka.

Drama ini menampilkan kembali gandingan Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai teraju utama, selain turut dibintangi Zarif Ghazzi serta pelakon senior Jalaluddin Hassan. Jalan ceritanya membawa penonton menyelami kisah penuh emosi berkaitan perkahwinan, kekeluargaan dan kekuatan cinta selepas berdepan pelbagai ujian hidup.
Hilang Dalam Rindu 2 bermula dengan detik mendebarkan apabila Aira selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka, Eirman. Namun pengalaman hampir kehilangan Aira ketika proses bersalin meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam diri Eijaz. Sejak peristiwa itu, kehidupan mereka sebagai ibu bapa baharu mula dipenuhi cabaran apabila Eijaz menjadi terlalu melindungi, sementara Aira pula berusaha membuktikan dia mampu menguruskan keluarga mengikut caranya sendiri.
Perbezaan pandangan antara mereka sering mencetuskan pertelingkahan kecil walaupun dalam masa yang sama rumah tangga mereka turut dihiasi dengan detik manis dan lucu. Ketegangan semakin memuncak apabila kisah silam kembali menghantui kehidupan keluarga tersebut, termasuk kemunculan semula individu yang pernah melukakan mereka sebelum ini.

Drama ini bukan hanya menampilkan kisah kasih sayang antara suami dan isteri, malah turut menyentuh soal trauma, kepercayaan dan perjalanan membina keluarga dalam suasana yang penuh cabaran. Selain itu, Hilang Dalam Rindu 2 turut mengetengahkan aspek keibubapaan, tanggungjawab dalam keluarga serta pengorbanan yang perlu dilakukan untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga.
Menerusi jalan cerita yang dekat dengan realiti, konflik keluarga yang menyentuh emosi serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon, drama ini dijangka memberikan pengalaman tontonan yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hilang Dalam Rindu 2 bermula Hari Raya Pertama hingga Hari Raya Kelima pada jam 10.30 pagi di TV3. Penonton juga boleh menstrim episod baharu 24 jam lebih awal menerusi laman web Tonton atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.




