am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan lemas dalam parit di Kampung Sungai Kajang Lama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.01 malam.
Beliau berkata, mangsa dijumpai oleh adik lelakinya dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam parit sedalam antara dua hingga tiga meter itu.
“Siasatan mendapati kanak-kanak perempuan itu disedari hilang kira-kira jam 5 petang dipercayai bermain basikal berhampiran kawasan parit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azaharudin berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas.
“Selain itu, tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badannya.
“Polis menyeru kepada orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Anwar Abdul Kadir di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Untuk rekod, ini adalah kejadian kedua berlaku di kawasan Tanjong Karang selepas dua beradik lelaki ditemukan lemas dekat Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




