Hilang sakit lahirkan bayi 'Merdeka'

Hilang sakit lahirkan bayi 'Merdeka'

nurul_husna@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Hilang terus sakit apabila saya mendengar laungan merdeka oleh jururawat sebaik selesai bersalin. Staf dalam bilik bersalin Hospital Tunku Azizah (HTA) amat teruja menyambut kelahiran bayi saya,” dedah Fazreenhani Mohd Johan, 23, yang juga ibu kepada bayi perempuan.

Dia selamat dilahirkan bayi menerusi pembedahan sekitar jam 12.51 pagi tadi.

Suri rumah itu berkata, dia sepatutnya melahirkan anak pada 11 September hadapan namun terpaksa bersalin awal berikutan bayinya dalam keadaan songsang.

“Selepas procedur Exterbal Cephalic Version (ECV) membetulkan keadaan anak saya tidak berjaya, doktor terpaksa jalankan pembedahan untuk memastikan anak saya selamat.

“Sepatutnya saya dijadualkan masuk ke bilik bersalin pada 29 September tetapi jadual bertukar pada 30 haribulan dan rezeki saya dia lahir pada hari kemerdekaan,” katanya pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Hospital Tunku Azizah di sini, tadi.

Bayi perempuan dengan berat 3.2 kilogram itu adalah bayi pertama disambut oleh hospital berkenaan.

Bagi pemilik kedai burger, Anneseletta Peter, dia tidak menyangka pengalaman mengandung kali kedua yang tidak dirancang itu mengabulkan angan-angannya untuk memiliki anak pada tarikh keramat.

“Pernah juga berangan hendak ada anak lahir sebagai bayi merdeka. Tidak sangka saya berjaya merealisasikan impian itu apabila melahirkan bayi lelaki di hospital ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Dr Shamsul Anuar Kamarudin, pihaknya menyambut 12 bayi merdeka sehingga jam 9 pagi tadi.

“Kami menjangkakan kelahiran bayi adalah sekitar 20 hingga 30 orang bayi berdasarkan purata kelahiran diterima setiap hari.

“Kelahiran bayi merdeka ini sangat dinantikan bukan sahaja ibu bayi malah kakitangan yang bertugas. Program ini juga acara sangat bermakna apabila bayi merdeka turut diraikan pihak luar termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Ronald McDonald House Charities (RMHC), M Nasri M Nordin berkata, pihaknya teruja dapat bersama meraikan bayi merdeka.

“Ini antara komitmen kami yang terbabit dalam membantu mewujudkan persekitaran membesar sihat dan selamat untuk kanak-kanak di Malaysia sejak sekian lama.

“Program ini antara kolaborasi berterusan dan semestinya pada tarikh bermakna iaitu sempena Hari Kemerdekaan, meraikan bayi merdeka antara inisiatif signifikan dengan sumbangan dan kebajikan kami jalankan. “Hari ini kami menyumbang 150 makanan untuk petugas barisan hadapan terbabit dan juga sumbangan berbentuk hamper kepada bayi merdeka,” katanya.

Selain RHMC, HTA turut mendapat kerjasama dari tujuh badan lain antaranya McDonald’s Malaysia, Konsortium Prohawk Sdn Bhd, CoopBank Pertama Malaysia Berhad, Mydin, BabyMoora Sdn Bhd dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top