harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Remaja Britain, David Balisong yang dilaporkan hilang sejak Jun lalu ditemui di sebuah hotel di sekitar ibu negara, di sini, hari ini.
Difahamkan, remaja berusia 17 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat oleh sepasukan polis kira-kira 7 petang dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi mengesahkan penemuan berkenaan namun tidak mengulas lanjut.
Katanya, pihak polis akan mengeluarkan butiran lanjut berkenaan kehilangan remaja itu selepas selesai proses rakaman percakapan.
Terdahulu media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.
Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




