harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada isu perkauman, agama dan diraja (3R) dibangkitkan dalam Himpunan Melayu Berdaulat yang dihadiri kira-kira 800 peserta di hadapan pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, himpunan itu juga berlangsung dengan lancar dan terkawal.
“Seramai 80 pegawai dan anggota bertugas membuat pemantauan keselamatan semasa perhimpunan berlangsung.
“Seramai 700 ke 800 peserta yang hadir dan tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, setakat ini pihak polis akan meneliti terlebih dahulu sekiranya ada keperluan untuk memanggil pihak penganjur.
“Tiada isu 3R dibangkitkan, hanya isu melibatkan orang Melayu sahaja dan jika ada laporan polis, siasatan akan dilakukan,” katanya.
Terdahulu Harian Metro melaporkan himpunan itu berlangsung dengan aman dan terkawal di mana tiada sebarang provokasi dilakukan oleh mana-mana pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




