am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan perhimpunan solidariti untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebagai tempat untuk berpolitik.
Peguam Hamid Ismail berkata, program solidariti itu tidak boleh dicemari dengan agenda politik kerana bertentangan dengan tujuannya diadakan iaitu untuk menuntut keadilan bagi arwah.
“Kalau ada pihak mahu berpolitik, jangan suruh datang. Kita semua berkumpul untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik,” katanya ditemui pemberita selepas sebutan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas beberapa insiden perhimpunan solidariti untuk Zara yang dicemari unsur politik hingga mendapat kecaman orang ramai.
Selain itu, Hamid turut memberi peringatan tegas kepada pempengaruh media sosial, supaya tidak menakut-nakutkan saksi atau menyebarkan cerita palsu berkaitan kes kematian Zara Qairina.
“Terdapat saksi terutama pelajar yang enggan tampil kerana bimbang dengan ugutan netizen dan beberapa individu di media sosial.
“Saya menggalakkan orang ramai tampil kepada polis atau secara terus dengan saya. Kepada pempengaruh (influencers) jangan menakut-nakutkan saksi.
“Dalam mencari keadilan, jangan sampai memfitnah atau mengugut orang lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, ibu arwah Zara Qairina berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Saya ada bercakap dengan ibu Zara mengenai isu ini, dan dia sangat gembira serta memohon kepada semua saksi yang ada supaya tidak takut terutama kepada pelajar.
“Jangan takut tampilkan diri, kalau takut kepada polis, jumpa kami (peguam),” katanya.
Mahkamah Koroner, di sini, menetapkan pendengaran inkues kematian Allahyarham Zara Qairina bermula 3 September depan bagi mengenal pasti punca kematiannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd