Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan Himpunan Turun Anwar dilaksanakan dengan lancar dan selamat di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya menghormati suara rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.
PDRM komited jadi pemudah cara

Foto: Utusan Malaysia
“Segala bentuk kerjasama daripada semua pihak amat dihargai agar suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh perhimpunan.
“PDRM turut menasihatkan para peserta agar sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, serta bersama-sama memelihara ketenteraman dan keselamatan di kawasan sekitar,” katanya dalam sebuah kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohd Khalid turut menitipkan nasihat kepada golongan yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan tersebut untuk merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan atau kelewatan memandangkan aliran trafik dijangka alami perubahan.
Pihaknya turut memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara dan pada masa sama menghormati hak-hak kebebasan rakyat.
Artikel lain: Hormat kebebasan bersuara, PM arah polis bantu kelancaran ‘Himpunan Turun Anwar’
PDRM komited jadi pemudah cara

Foto: Astro Awani
“Kami percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing secara berhemah serta matang dalam memastikan ruang demokrasi dimanfaatkan secara positif demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Sumber: Facebook @Polis Diraja Malaysia (PDRM)