Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini menunjukkan pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) ketandusan idea dalam membuktikan dakwaan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam mengurus ekonomi.
Pembangkang ketandusan idea

Foto: Free Malaysia Today
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menjelaskan, laporan semasa jelas menunjukkan ekonomi berada dalam fasa pemulihan dengan pertumbuhan baik di landasan yang kukuh sekali gus menyangkal dakwaan semberono parti itu.
“Pertumbuhan, inflasi, kadar pengangguran, jumlah pelaburan dipersetankan terus dek kerana benci dan haloba.
“Ini bukti nyata betapa gagalnya mereka dalam berhujah, mengolah serta mengusulkan alternatif kepada pelbagai dasar-dasar baik yang diterjemahkan kita,” kata Kamil di ciapan platform X, semalam.
Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendedahkan, pihak pembangkang cuba bersandiwara dengan menghasut dan menabur kebencian dalam kalangan rakyat ketika kepemimpinan negara berusaha gigih membangunkan ekonomi.
“Di saat pimpinan negara gigih dan kerja semahunya dalam membangun negara, mereka pilih jalan adu domba. Bahkan, sehingga kini mereka gagal mengemukakan siapakah calon yang mahu diangkat menggantikan Anwar?Jawapannya sama. Celaru, keliru dan haru,” jelasnya.

Foto: Kamil Munim
Beliau juga berkata, Kerajaan MADANI bersifat terbuka menerima baik pandangan rakyat malah menjunjung kebebasan, apatah lagi kebebasan berhimpun secara aman.
“YAB PM telah pun menjamin agar tidak ada sebarang intimidasi dari pihak berkuasa. Namun, berdemonstrasi hanya semata benci kepada batang tubuh Anwar Ibrahim menunjukkan betapa lemah, dangkal dan longlainya politik mereka dalam mendepani ketangkasan kita menterjemah hasrat dan kehendak rakyat saat ini,” tambah Kamil.
Artikel lain: Hormat kebebasan bersuara, PM arah polis bantu kelancaran ‘Himpunan Turun Anwar’
Terdahulu, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa menyokong kepada prinsip demokrasi dan perlembagaan, termasuklah suara golongan yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran terkini dan mengarahkan pihak berkuasa memberikan kerjasama kepada peserta-peserta yang bakal terlibat pada Sabtu ini.
Sumber: X Kamil Munim