Hindari penipuan dan kepentingan diri

Hindari penipuan dan kepentingan diri

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 2

ISLAM sangat menitikberatkan persoalan amanah dan jujur dalam segala urusan. Golongan yang berkepentingan diri akan suka menipu dan melakukan perbuatan yang boleh merosakkan hubungan baik dalam masyarakat. Umpamanya dalam konteks berwasiat, Allah SWT menegaskan bahawa wasiat yang dilakukan hendaklah ditepati kerana ia melibatkan suatu penghormatan kepada pewasiat sementara orang yang merubah wasiat adalah orang yang tidak jujur dan menanggung dosa. Firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَیۡكُمۡ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ إِن تَرَكَ خَیۡرًا ٱلۡوَصِیَّةُ لِلۡوَ ٰ⁠لِدَیۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِینَ بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ حَقًّا عَلَى ٱلۡمُتَّقِینَ. فَمَنۢ بَدَّلَهُۥ بَعۡدَ مَا سَمِعَهُۥ فَإِنَّمَاۤ إِثۡمُهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ یُبَدِّلُونَهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِیعٌ عَلِیمࣱ

Maksudnya: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, hendaklah membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa. Kemudian sesiapa yang merubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang merubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Al-Baqarah: 180-181)

Advertisement

Pada peringkat awal Islam, hukum berwasiat kesemua harta kepada ibu bapa dan sanak saudara adalah wajib sebagaimana ayat di atas.Walau bagaimanapun, kewajipan ini telah dimansuhkan melalui ayat-ayat 11, 12, 176 Surah Al-Nisa’ dan hadis-hadis yang berkaitan dengan pembahagian harta pusaka. Amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksimum satu pertiga dan ditujukan kepada selain waris. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَلَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan hak masing-masing. Maka, tiada wasiat untuk waris.” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis tersebut, difahami bahawa asal hukum wasiat kepada waris adalah tidak sah melainkan jika waris lain bersetuju dengan wasiat yang dibuat ketika pewasiat meninggal dunia. Maka, untuk pelaksanaan wasiat kepada waris adalah bergantung kepada keizinan daripada waris yang lainnya sebagaimana hadis Nabi SAW:

لَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ الْوَرَثَةُ

Yang bermaksud: “Tidak boleh berwasiat kepada waris melainkan jika diizinkan oleh warisnya yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Hukum berkaitan harta pusaka, wasiat dan hibah sangat dititikberatkan oleh Islam supaya hak yang telah ditetapkan dapat dikecapi oleh pemiliknya. Oleh sebab itu, Islam melarang keras sikap mementingkan diri sendiri sehingga sanggup merubah hukum asal yang telah ditetapkan oleh Allah dan sebarang persetujuan yang ditetapkan oleh pewasiat. Orang yang ubah wasiat akan menanggung dosa dan ia turut menyebabkan kesulitan dalam urusan pembahagian pusaka. Oleh itu, setiap muslim hendaklah membersihkan diri masing-masing, menunaikan serta mengambil hak secara adil tanpa khianat. Inilah batasan halal haram yang perlu dijagai sepanjang bermukim sementara di bumi Allah SWT untuk mendapat keredhaan-Nya.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
2 Ramadhan 1443/4 April 2022 – HARAKAHDAILY 4/4/2022

Scroll to Top