Hisyam tak fikir Fazura ada niat lain

Hisyam tak fikir Fazura ada niat lain

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya tidak fikir dia ada niat lain pun. Kadang-kadang peminat yang teruja dan mula mengaitkan perkara itu ke arah lain.

“Bagi saya, tak salah pun kalau nak puji orang, apatah lagi bila membabitkan kebaikan sebagai ibu atau bapa,” kata pelakon popular, Hisyam Hamid, 40, mengenai pelakon jelita, Nur Fazura yang memujinya dalam satu sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Dalam sesi itu, Fazura menyatakan Hisyam sebagai seorang lelaki yang baik dan mempunyai ciri-ciri seorang bapa yang mementingkan keluarga.

Hisyam atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid berkata, kemungkinan Fazura memberikan pandangan sedemikian kerana pernah melihat sendiri cara dia melayani anak-anak dengan baik sepanjang mengenalinya.

“Saya dah tengok video siaran langsung itu. Dia cerita pun secara umum dan kami pun pernah berlakon sama sebelum ini. Mungkin dia pernah tengok cara saya layan anak-anak, jadi dia puji dari sudut itu,” katanya.

Mengulas lanjut, pelakon filem Memori ini tidak menafikan statusnya sebagai bapa tunggal menjadi antara punca dia sering ‘dikenakan’ atau digosipkan dengan artis wanita termasuk Fazura.

“Saya rasa isu ‘dikenakan’ itu timbul sebab status kami sebagai ibu dan bapa tunggal. Sebelum ini tidak pula berlaku perkara seperti ini. Apapun saya tidak boleh buat apa. Kalau boleh, saya cuba elak daripada kontroversi sebegini,” katanya.

Menurut Hisyam, anak-anaknya juga sedar akan gosip yang tersebar membabitkan dirinya yang sering menjadi perhatian di media sosial.

Malah, anak lelakinya secara berseloroh menasihati agar tidak membabitkan diri dalam hubungan baharu kerana sudah mempunyai segalanya.

“Ada satu kali tu bila saya dikaitkan dengan seorang artis, anak saya terus DM saya di Instagram dan hantar pautan berita itu sambil tulis, ‘Ayah… run!’ (lari). Saya anggap itu sebagai gurauan saja.

“Mereka sekarang sedang belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kami. Anak lelaki saya pun ada cakap, saya tak perlu kahwin lagi sebab dah ada semuanya, termasuk wang dan anak-anak.

“Tapi mak saya tegur balik, katanya tak elok cakap begitu sebab saya masih muda,” katanya.

Mengutamakan keluarga, Hisyam menegaskan dia mahu terus menjaga reputasi dirinya demi memberi contoh yang baik kepada anak-anak.

“Dari dulu lagi, sesiapa yang kenal saya tahu bahawa keluarga adalah keutamaan saya. Kalau orang tengok saya tiada kontroversi sebelum ini, itu bukan sebab saya baik sangat, tapi sebab saya mahu anak-anak lihat saya sebagai contoh yang baik.

“Mereka pun sudah besar dan ada kawan-kawan yang tahu siapa saya. Kesihatan mental mereka juga adalah perkara paling saya utamakan,” katanya.

Hisyam mendirikan rumah tangga dengan Rosmawati Hanafi pada 2006 dan bercerai Mei lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nurish Syameliah, 18, dan Haydeen, 16.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top