'Hitman' Turkiye mahu paten gaya menembak di Olimpik

'Hitman' Turkiye mahu paten gaya menembak di Olimpik

Ankara: Penembak sensasi Turkiye Yusuf Dikec memfailkan permohonan untuk mendaftar atau mempatenkan gaya ikoniknya di Sukan Paris yang tular di seluruh dunia, kata jurulatihnya kepada AFP.

Jurulatihnya, Erdinc Bilgili, mengatakan bahawa langkah untuk melindungi penggunaan komersial gaya itu dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Turkiye dilakukan sebagai tindak balas terhadap cubaan orang lain untuk memperdagangkannya tanpa persetujuan Yusuf.

“Selepas dimaklumkan mengenai beberapa inisiatif pendaftaran tanda dagangan yang dilakukan tanpa pengetahuan Yusuf Dikec, kami mengemukakan permohonan kira-kira seminggu yang lalu,” kata Bilgili kepada AFP, sambil menambah bahawa “permohonan lain ditolak.”

Gaya Dikec yang nampak tenang sebagai inspirasi lonjakan ‘meme’ dalam talian, dengan beberapa membandingkannya dengan perisik fiksyen James Bond, manakala pengasas Tesla dan bilionair, Elon Musk, turut berkongsi video dirinya melakukan gaya yang sama.

Gaya itu juga banyak ditiru oleh rakan-rakan atletnya sejak dia memenangi pingat perak, pingat pertama Turki dalam acara campuran air pistol 10 meter (m) bersama rakan sepasukan Sevval Ilayda Tarhan.

Malah, Penyerang Chelsea, Nicolas Jackson, turut meniru gaya itu pada hari Ahad ketika dia meraikan gol yang dijaringkan menentang Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris.

Beberapa barangan kenangan yang memaparkan gaya ikoniknya dijual, termasuk T-shirt, cawan, dan sarung telefon bimbit, lapor saluran berita Turkiye TRT Haber.

Pejabat tanda dagangan Turki tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan komen daripada AFP.

Dalam satu temu bual dengan AFP pada awal Ogos, Yusuf berkata terdapat penjelasan semula jadi untuk teknik tangannya di dalam poket.

“Saya hanya melakukannya untuk memastikan badan saya lebih stabil, untuk menjaga keseimbangan. Tiada apa-apa yang lebih daripada itu,” kata Yusuf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top