suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegiatan ‘prebet sapu’ dipercayai tanpa lesen sah dan beroperasi secara terbuka dengan didalangi warga asing kini dikesan semakin berani mengambil penumpang di sekitar ibu kota.
Tinjauan Harian Metro selama hampir dua jam di sekitar sebuah kedutaan di ibu negara, baru-baru ini mendapati beberapa individu dipercayai warga asing menunggu berhampiran pintu masuk sebelum dijemput dan dihantar menggunakan kenderaan persendirian.
Pemerhatian turut mendapati penumpang yang menaiki kenderaan terbabit terdiri daripada dua hingga lima individu pada satu masa, dipercayai berkongsi tambang berdasarkan lokasi yang dituju.
Dalam pemerhatian, wartawan turut menyaksikan beberapa transaksi wang tunai dipercayai sebagai bayaran tambang, antara penumpang dan pemandu sebelum kenderaan beredar meninggalkan kawasan itu.
Lebih membimbangkan ada kenderaan yang digunakan tidak mempunyai sebarang pelekat e-hailing, sebaliknya hanya memaparkan pelekat ‘P’ (pemandu percubaan) di cermin belakang sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelayakan pemandunya.
Ketika dihampiri wartawan, pemandu dan penumpang enggan memberi sebarang respon malah ada antara mereka berpura-pura tidak memahami soalan meskipun diajukan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
“Saya tidak tahu apa-apa, cuma tunggu kawan,” kata penumpang ‘prebet sapu’ warga asing yang mendakwa baru sampai di Malaysia.
Tindakan terbabit mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai dengan mendakwa aktiviti itu tidak terkawal dan berpotensi menimbulkan isu keselamatan selain menjejaskan punca rezeki pemandu teksi dan e-hailing tempatan.
Tinjauan lain di Jalan Chan Sow Lin di sini mendapati beberapa warga asing dikesan menjalankan perkhidmatan pengangkutan haram dengan menggunakan kenderaan persendirian.
Mereka dikesan menggunakan modus operandi tertentu termasuk ‘memancing’ penumpang dipercayai rakan senegara sebelum membawa mereka ke lokasi kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Tinjauan turut mendapati beberapa kenderaan lain dipercayai digunakan untuk tujuan sama menunggu di tepi jalan dan hadapan premis di kawasan terbabit dipercayai sedang menunggu pelanggan.
Difahamkan, kegiatan itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan berlaku secara terang-terangan terutama pada waktu pagi dan tengah hari.
Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan warga asing berkumpul di hadapan sebuah kedutaan dan menaiki perkhidmatan ‘prebet sapu’ warga asing.
Rakaman berdurasi lebih satu minit 30 saat itu menunjukkan individu tempatan yang merakam kejadian turut menegur pemandu kenderaan terbabit yang membawa beberapa penumpang warga asing.
Kandungan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam membendung aktiviti ‘prebet sapu’ dalam kalangan warga asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd