HIV banyak menular dalam kalangan orang muda – Utusan Digital

HIV banyak menular dalam kalangan orang muda – Utusan Digital

PETALING JAYA: Jangkitan HIV kini kebanyakannya menular dalam kalangan golongan orang muda di negara ini. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, statistik pada tahun lepas menunjukkan kebanyakan jangkitan kini menular dalam kalangan orang muda dengan 76 peratus melibatkan mereka yang berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Bagaimanapun, katanya, punca utama jangkitan HIV adalah melalui hubungan seksual dengan statistik 2020 menunjukkan daripada 3,146 jangkitan baharu yang direkodkan, sebanyak 94 peratus daripadanya merupakan transmisi seksual.

“Empat peratus lagi jangkitan dikesan melalui perkongsian jarum suntikan dadah, satu peratus transmisi dari ibu kepada anak dan satu peratus lagi berikutan sebab-sebab lain.

“Usaha semua pihak terutamanya pelaksanaan program pertukaran jarum dan picagari serta rawatan terapi gantian metadon pada 2006 telah berjaya mengurangkan lebih separuh jangkitan dalam kalangan pengguna dan penagih dadah dalam tempoh lapan tahun selepas ia dimulakan. 

“Oleh itu, kempen kesedaran di kalangan orang muda amat penting untuk dilaksanakan terutamanya mengenai pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Menurut Khairy, walaupun berdepan pandemik Covid-19, negara telah membelanjakan hampir RM100 juta untuk AIDS pada tahun lalu dengan kebanyakannya adalah bagi tujuan rawatan dan pencegahan.

“Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada Yayasan AIDS Malaysia atas penganjuran Majlis Makan Malam Gala Reben Merah dan Anugerah Tun Dr. Siti Hasmah Sunway-Yayasan AIDS Malaysia (MAF) 2021 malam tadi.

“Dalam kita menyantuni dan membantu para pesakit HIV dan AIDS, kita harus mendidik orang ramai supaya tidak mendiskriminasi golongan ini kerana selain cabaran kesihatan, mereka juga berdepan stigma serta persepsi negatif masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Scroll to Top