TEL AVIV: Hizbollah dari Lubnan melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah pangkalan perisikan tentera Israel di pinggir Tel Aviv pada awal pagi Khamis.
Ia merupakan dakwaan terbaharu kumpulan yang disokong oleh Iran itu dalam satu operasi besar terhadap Israel yang diumumkan beberapa jam sebelumnya.
“Pejuang-pejuang Hizbollah menyasarkan pangkalan Glilot yang merupakan ibu pejabat Unit Perisikan Tentera 8200 di pinggir Tel Aviv dengan bedilan bertubi-tubi peluru berpandu canggih,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran sebelum ini berkata, mereka telah melaksanakan satu operasi peluru berpandu bersama Hizbollah, yang menyasarkan beberapa sasaran di Israel.
Dalam pada itu, tentera Israel berkata pada Khamis bahawa ia telah menyerang 10 sasaran Hizbollah di selatan Beirut, termasuk sebuah ibu pejabat perisikan dan pusat-pusat arahan.
Serangan itu dilakukan selepas Iran mendakwa melancarkan serangan bersama Hizbollah terhadap Israel.
“Dalam beberapa jam yang lalu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah memulakan gelombang serangan berskala besar yang menyasarkan infrastruktur milik organisasi pengganas Hizbollah di seluruh Lubnan,” kata tentera Israel.
Tentera itu berkata, ia turut menyerang puluhan pelancar selain lokasi perisikan dan pusat arahan di selatan Beirut.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam serangan baharu di pusat Beirut. – AFP




