Beirut: Kumpulan Hizbullah mengesahkan bakal pemimpin baharu mereka, Hashem Safieddine, terbunuh dalam serangan Israel, baru-baru ini.
Hashem dilaporkan bakal menggantikan pemimpin terdahulu mereka, Sayyed Hassan Nasrallah yang terkorban, bulan lalu.
Middle East Eye melaporkan, pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi selama berminggu-minggu mengenai kematian Hashem selepas serangan udara Israel di Beirut pada 3 Oktober lalu.
“Kami berkabung kepada negara syahid dan mujahidin, negara penentangan dan kemenangan, seorang pemimpin besar dan syahid yang hebat dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, ketua Majlis Eksekutif Hizbullah, Yang Mulia ulama Sayyed Hashem Safieddine, semoga Tuhan Yang Maha Kuasa reda dengannya,” kata kumpulan Lubnan itu dalam satu kenyataan.
Di sebalik kekalahan itu, Hizbullah berkata, anggota mereka berjanji kepada rakan perjuangan yang syahid untuk meneruskan jalan penentangan dan jihad sehingga mencapai matlamat kebebasan dan kemenangannya.
Selasa lalu, Israel turut mengesahkan, membunuh Hashem dalam serangan udara tiga minggu lalu di pinggir selatan Beirut.
Hashem ialah tokoh terbaharu parti itu yang disahkan dibunuh Israel, berikutan rentetan pembunuhan dan pengeboman yang meragut sebahagian besar kepimpinan kanan kumpulan itu dan membunuh ratusan orang awam Lubnan.
Di sebalik pembunuhan itu, kumpulan itu kekal sebagai pasukan pejuang yang berkesan, menyebabkan banyak mangsa terkorban pada tentera Israel yang cuba mara ke selatan Lubnan.
Israel menyasarkan Hashem pada 3 Oktober dengan dilaporkan menggugurkan 73 tan bom di pinggir selatan Beirut.
Serangan itu serupa dengan bom pemusnah bunker yang menyasarkan Hassan seminggu sebelum itu malah dirasai di kawasan pergunungan Lubnan agak jauh dari ibu negara.
Hizbullah kini sedang terbabit dalam pertempuran dengan tentera Israel di selatan Lubnan ketika Israel cuba untuk menyerang negara itu.
Kumpulan itu bertempur dengan Israel sejak 8 Oktober tahun lalu sebagai sebahagian daripada solidariti dengan Semenanjung Gaza.
Israel melancarkan kempen udara intensif di Lubnan sehingga menyaksikan lebih 2,500 orang di Lubnan dibunuh Israel sejak Oktober tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




