Beirut: Hashem Safieddine, lelaki yang diuar-uarkan sebagai bakal pengganti kepada Hassan Nasrallah, tidak dapat dihubungi, selepas serangan udara Israel, menurut sumber kanan pergerakan itu.
Satu lagi sumber yang rapat dengan Hizbullah sebelum ini memberitahu AFP bahawa Safieddine yang mempunyai hubungan keluarga dengan Nasrallah dan hubungan baik dengan penyokongnya di Iran, adalah calon yang ‘kemungkinan besar’ untuk jawatan tertinggi parti itu.
Dengan janggut berwarna kelabu dan berkaca mata, Safieddine mempunyai persamaan yang ketara dengan sepupunya, Nasrallah, tetapi beberapa tahun lebih muda daripadanya, dan dikatakan berusia lewat 50-an atau awal 60-an.
Seminggu selepas serangan besar-besaran Israel ke atas pinggir bandar selatan Beirut yang membunuh pemimpin lama Nasrallah, pengeboman hebat pada awal Jumaat sekali lagi menyasarkan pinggir bandar selatan Beirut.
“Komunikasi dengan Sayyed Safieddine terputus sejak serangan ganas di pinggir bandar selatan Beirut pada Jumaat lalu,” sumber itu memberitahu AFP meminta enggan dikenali untuk membincangkan perkara sensitif.
“Kami tidak tahu sama ada dia berada di tapak yang disasarkan, atau siapa yang mungkin berada di sana bersamanya,” katanya.
Timbalan ketua Hizbullah, Naim Qassem, yang mengambil alih kepimpinan selepas kematian Nasrallah, pada Isnin berkata, kumpulan itu akan menamakan ketua baharu “pada peluang paling awal”.
Majlis Syura perlu bermesyuarat untuk memilih setiausaha agung yang baharu.
Ahli Majlis itu, Safieddine mempunyai hubungan kuat dengan Republik Islam selepas menjalani pengajian agama di bandar suci Qom, Iran.
Anak lelakinya berkahwin dengan anak perempuan Jeneral Qasem Soleimani, komander pasukan operasi asing Kor Pengawal Revolusi Iran yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada 2020.
Safieddine mempunyai gelaran Sayyed dan serban hitamnya, menandakan dia seperti Nasrallah dan dianggap sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW.
AS dan Arab Saudi, bagaimanapun, masing-masing meletakkannya dalam senarai ‘pengganas’ pada 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd



