HKI 2026 Ahad Ini di Tasik Titiwangsa, Teknologi Pintar Pilihan Selamat

HKI 2026 Ahad Ini di Tasik Titiwangsa, Teknologi Pintar Pilihan Selamat

Telefon pintar yang kini berada di tangan hampir semua orang amat memudahkan kehidupan, namun wujud risiko senyap seperti penipuan, buli siber, manipulasi AI dan kandungan berbahaya yang semakin mendekati kehidupan keluarga Malaysia.

Justeru, Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 mahu mengubah cara isu ini dibincangkan. Ia bukan lagi dibicarakan dalam bahasa teknikal atau bilik seminar tertutup, sebaliknya dibawa ke ruang awam secara santai, mudah difahami dan dekat dengan rakyat.

HKI 2026 bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat” yang akan berlangsung pada Ahad ini di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur  menegaskan bahawa teknologi bukan musuh, sebaliknya cara penggunaannya perlu lebih beretika, berhemah dan bertanggungjawab.

Bagi mencapai hasrat itu, acara anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal dilangsungkan dengan pendekatan edutainment yang sesuai untuk ibu bapa, remaja, pelajar dan keluarga.

HKI 2026 amat relevan kerana kanak-kanak kini terdedah kepada internet dan AI lebih awal berbanding generasi terdahulu, manakala taktik scam semakin canggih termasuk deepfake, penyamaran akaun dan manipulasi emosi.

Berbeza dengan kempen amaran yang keras, HKI 2026 menumpukan perubahan sikap dan kesedaran. Fokusnya adalah berfikir sebelum berkongsi, menyemak sebelum percaya dan berbincang secara terbuka dalam keluarga tentang penggunaan internet.

Antara tarikan utama ialah Bicara Santai Keselamatan Digital yang disampaikan dalam bahasa mudah tanpa istilah teknikal. Sesi ini menampilkan wakil platform besar seperti Meta, TikTok dan Google untuk membincangkan keselamatan digital serta kawalan ibu bapa.

Pada sesi pagi, pengunjung akan mendengar perkongsian daripadda Amirah Amir (Meta) mengenai Akaun Remaja Meta: Alat Kawalan Ibu Bapa dan Ciri Keselamatan;  Aliff Zakaria (TikTok) mengenai Panduan Kawalan Ibu Bapa dan Sekatan Media Sosial untuk Bawah 16 Tahun dan Putri R. Alam (Google) mengenai Pengaktifan Alat Kawalan Ibu Bapa

Selain itu, pengunjung boleh menyertai ExploRace, pameran keselamatan digital, pameran NADI, aktiviti interaktif keluarga, e-sukan, busking dan konsert mini. Semua ini menjadikan HKI lebih seperti festival komuniti berbanding acara rasmi semata-mata.

Pada sebelah petang, acara diteruskan dengan Forum Internet Selamat yang menampilkan SAC Siti Kamsiah Hassan (PDRM), Prof. Madya Dr. Mohd Al Adib (SUHAKAM) dan Muhammad Noor (KOL). Mereka akan membincangkan keselamatan digital dari sudut undang-undang, hak asasi dan pengalaman pengguna.

HKI 2026 turut menyokong usaha kerajaan melalui Kempen Internet Selamat (KIS) untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan ibu bapa, guru, pelajar dan warga emas. Inisiatif ini bertujuan membina ruang maya yang lebih selamat untuk semua.

Bawa keluarga anda ke Astaka Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad ini untuk belajar, berhibur dan sama-sama membina ruang digital yang lebih selamat.


Scroll to Top