HLB Private Bank perluas akses pelabur Malaysia ke pasaran swasta global

HLB Private Bank perluas akses pelabur Malaysia ke pasaran swasta global

PETALING JAYA: HLB Private Bank bakal membuka akses langsung kepada pelabur Malaysia yang layak untuk melabur dalam pasaran swasta global, sekali gus membolehkan mereka mempelbagaikan portfolio menerusi pelaburan ekuiti persendirian dan kredit persendirian bertaraf antarabangsa yang sebelum ini sukar diakses di Malaysia.

Seiring usaha memperluaskan akses kepada peluang pelaburan global, bank itu mengumumkan pelancaran dua kenderaan pelaburan eksklusif, iaitu Dana Dana Ekuiti Persendirian Global II dan Dana Pendapatan Kekal Pasaran Swasta (Penjanaan Pendapatan Berdaya Tahan). 

Kedua-dua dana tersebut direka bagi membantu pelanggan yang layak memperoleh pulangan premium daripada aset tidak cair serta pulangan operasi melalui pemilikan langsung dan pembiayaan tersuai dalam pelbagai segmen pasaran swasta. 

Ia turut menawarkan kepelbagaian pelaburan merentasi pengurus dana global terkemuka, kredit infrastruktur, royalti harta intelek dan aset alternatif lain.

Pengumuman itu dibuat sempena Private Markets Summit 2026, yang disifatkan sebagai sidang kemuncak pasaran swasta pertama seumpamanya di Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Pengurusan Kekayaan HLB, Jeffrey Yap, berkata bank itu komited menjadi rakan strategik kepada pelanggan dalam membina kekayaan dan mempelbagaikan portfolio secara mampan.

“Melalui akses langsung kepada pasaran swasta, kami menawarkan kelebihan yang membezakan HLB Private Bank daripada institusi lain. Ia membuka perspektif baharu kepada pelanggan untuk meneroka peluang pelaburan yang sebelum ini hanya dinikmati oleh pelabur institusi dan dana pencen terbesar dunia,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pelabur yang hanya menumpukan kepada pasaran awam sebenarnya hanya melihat sebahagian kecil daripada peluang pelaburan global memandangkan kira-kira 90 peratus syarikat berskala besar di seluruh dunia masih dimiliki secara persendirian.

Tambahnya, syarikat kini kekal sebagai entiti persendirian untuk tempoh yang lebih lama, dengan tempoh median meningkat daripada lima tahun pada 1981 kepada 12 tahun ketika ini, membolehkan lebih banyak nilai diwujudkan sebelum penyenaraian awam.

Selain ekuiti persendirian, HLB Private Bank turut menawarkan akses kepada segmen pertumbuhan tinggi seperti infrastruktur swasta dan royalti harta intelek, yang dilihat mampu menyediakan kepelbagaian portfolio serta potensi pulangan jangka panjang kepada pelabur.

Sebelum ini, akses kepada kelas aset berkenaan kebanyakannya terhad kepada pelabur institusi. Namun, HLB Private Bank kini berusaha merapatkan jurang tersebut dengan menyediakan akses dan pengurusan pelaburan bertaraf dunia kepada pelanggan perbankan persendirian.

Langkah itu hadir ketika pasaran swasta global terus berkembang pesat. Nilai aset bersih (NAV) sektor tersebut dilaporkan meningkat hampir 10 kali ganda dalam beberapa dekad lalu dan dijangka mencecah AS$25 trilion menjelang 2030. 

Aset swasta kini turut mewakili kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. – UTUSAN

Scroll to Top