Kuala Lumpur: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) menjalin memorandum persefahaman (MoU) bersama GoBarakah untuk membina ekosistem teknologi kewangan (FinTech) baharu yang menyalurkan sumbangan dan dana kepada komuniti terpinggir.
Kerjasama ini, yang dibentuk di bawah program PayNet Cambah oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), menekankan komitmen HLISB untuk meningkatkan dan memperkukuh inisiatif pengantaraan berasaskan nilai (VBI) sambil menerapkan prinsip itu ke dalam perkhidmatan Syariah dan strategi perniagaan HLISB.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, pihaknya percaya pada kuasa kerjasama strategik untuk menjana impak kolektif.
“Selaras dengan matlamat kami untuk menjadi bank yang berfokuskan digital dan berpusatkan komuniti, kami komited bekerjasama dengan pemain industri utama untuk menambah baik penyelesaian perbankan, meluaskan jangkauan, dan menerapkan kami dalam komuniti.
“Kerjasama baharu ini adalah langkah strategik ke arah mengembangkan usaha perbankan bertanggungjawab dan mempertingkatkan lagi ekosistem VBI kami,” katanya.
Menurutnya, VBI bukan hanya membantu komuniti, ia juga membina kepercayaan antara HLISB dengan pelanggan, komuniti, dan pihak berkepentingan industri yang lain.
Dengan pelancaran kerjasama baharu ini, HLISB sudah memulakan program pembiayaan sosial perintisnya bersama GoBarakah, dengan penerima pertamanya SURI Inspirasi (SURI).
SURI adalah perusahaan sosial yang mempromosikan gaya hidup sifar sisa, di mana mereka memperkasakan keluarga terpinggir dan ibu tunggal untuk membina perniagaan mampan dengan mengitar semula fabrik terbuang menjadi item fesyen yang unik.
Dengan menggunakan pembiayaan daripada program iTekad Bank Negara Malaysia (BNM), pihak bank akan menyokong 100 keluarga di Langkawi untuk meningkatkan kemahiran, mengembangkan perniagaan mereka dan menjana pendapatan stabil, secara langsung menanamkan semangat keusahawanan dalam komuniti sambil mencegah lebihan sisa tekstil di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




