HM rangkul Anugerah Liputan Berita Penyelidikan Tertinggi dan Anugerah Liputan Berita Bahasa Melayu Tertinggi UPM

HM rangkul Anugerah Liputan Berita Penyelidikan Tertinggi dan Anugerah Liputan Berita Bahasa Melayu Tertinggi UPM

razis@mediaprima.com.my

Serdang: Harian Metro (HM) menerima anugerah Liputan Berita Penyelidikan Tertinggi dan Anugerah Liputan Berita Bahasa Melayu Tertinggi pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026 di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah kepada Pengarang Berita Harian Metro, Dr Muhammad Izawan Baharin.

Sementara itu, Ahmad Farhan dalam ucapannya berkata, media memainkan peranan penting dalam mengetengahkan kepakaran universiti, sekali gus memastikan hasil penyelidikan serta pencapaian institusi sampai kepada masyarakat secara meluas.

Katanya, peranan itu amat signifikan dalam memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan masyarakat.

“Komitmen rakan media dalam membuat liputan serta menyampaikan maklumat berkaitan universiti membantu meningkatkan visibiliti UPM di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan media yang sentiasa komited menyokong Universiti Putra Malaysia.

“Peranan media amat penting dalam memperluaskan hebahan, mengetengahkan kepakaran universiti serta menyampaikan pencapaian kepada masyarakat,” katanya.

Ahmad Farhan berkata, UPM sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak media termasuk menyediakan akses kepada pakar universiti untuk mendapatkan maklumat atau bahan eksklusif.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat, sahih dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sekiranya pihak media memerlukan maklumat lanjut, mereka boleh berhubung terus dengan pakar UPM melalui Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat,” katanya.

Penghargaan diberikan kepada pihak media yang menyumbang secara signifikan dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu melalui 13 kategori anugerah.

Dalam majlis itu juga, Berita Harian menerima Anugerah Liputan Bahasa Melayu Tertinggi dan Anugerah Visibiliti Media Cetak manakala New Straits Times memenangi anugerah Liputan Bahasa Inggeris Tertinggi.

Dalam pada itu TV3 memenangi Anugerah Penghargaan Khas Program Bual Bicara dan Anugerah Liputan TV Tertinggi.

Selain itu, seramai 15 anugerah ahli akademik dan profesional UPM menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top