hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Wartawan Harian Metro (HM) Muhamaad Razis Ismail mengungguli Anugerah Rencana Terbaik pada Malam MediaWave Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2024, hari ini.
Kemenangan itu menerusi rencana ‘Taasub Haiwan Eksotik’ yang melayakkannya membawa pulang plak, sijil, dan wang tunai.
HM turut memenangi Anugerah Liputan Terbanyak, manakala wartawan Berita Harian (BH) Tuty Haryanti Ahmad Rodzi membawa pulang Anugerah Berita Terbaik menerusi artikel kesihatan, ‘Telinga ‘bionik’ kembalikan pendengaran’.
Malam MediaWave 2024 turut menobatkan Anugerah Program Wawancara Terbaik dan Anugerah Kupasan Isu Terbaik, masing-masing kepada Program Selamat Pagi Malaysia (RTM) dan Rosalinda Md Said daripada Utusan Malaysia.
Semua anugerah disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, diiringi Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Terdahulu, Mohd Ekhwan dalam ucapannya berkata, majlis itu diadakan bertujuan meraikan pengamal media yang sentiasa meningkatkan imej UKM melalui penulisan dan liputan media secara berterusan.
“Kali terakhir anugerah ini dianjurkan, lapan tahun lalu dan UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa membuat liputan mengenai UKM, baik media cetak mahupun elektronik, termasuk secara dalam talian.
“Artikel yang ditulis oleh warga UKM juga turut mendapat tempat di dada-dada akhbar dan pakar UKM turut dijemput untuk membicarakan isu-isu penting negara dan masyarakat dalam rancangan bual bicara di media elektronik dan dalam talian,” katanya.
Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Eksekutif (Kandungan)HM Muhamad Safar Ahmad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




